Had masa dua jam beli-belah dipantau menerusi MySejahtera

Pemilik premis disaran untuk sentiasa membuat siar raya bagi mengingatkan pelanggan mematuhi had masa dua jam ditetapkan. - Gambar hiasan.
Pemilik premis disaran untuk sentiasa membuat siar raya bagi mengingatkan pelanggan mematuhi had masa dua jam ditetapkan. - Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Had masa maksimum dua jam pelanggan dibenarkan berada dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah akan dipantau menerusi MySejahtera.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, rekod itu akan diperoleh sebaik sahaja pelanggan membuat imbasan ketika memasuki premis.

"Pemantauan kita boleh buat secara rawak dahulu. Kita lihat yang penting adalah kita memohon kerjasama daripada pemilik premis itu.

"Secara kendiri mereka perlu buat yang terbaik bagaimana hendak memantau pelanggan atau pembeli yang masuk ke premis mereka," katanya pada sidang akhbar Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, pemilik premis disaran untuk sentiasa membuat siar raya bagi mengingatkan pelanggan mematuhi had masa dua jam ditetapkan.

Jelasnya, anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) juga akan membuat pemantauan secara rawak di premis tumpuan ramai.

"Selain itu, kita juga nasihatkan pelanggan untuk buat kawalan kendiri dan patuhi had masa yang ditetapkan," katanya.

KPDNHEP pada Ahad mengumumkan tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam, mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran berkuatkuasa Selasa.

Artikel Berkaitan:

Selaras itu juga, semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah wajib mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan seorang bagi setiap empat meter persegi.