X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas Pengarah Maritim didakwa rasuah

Mohd Zulfadli (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bekas pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Ahad atas pertuduhan menerima suapan bernilai RM10,000 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zulfadli Nayan, 40, yang sebelum ini merupakan Pengarah Maritim Zon Maritim Tanjung Sedili, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berpangkat Kepten Maritim gred T22 didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat perkapalan di sebuah restoran di Johor Bahru pada 2 Oktober tahun lalu, kira-kira jam 10 malam.

Dia didakwa menggunakan jawatannya untuk tidak mengambil tindakan ke atas siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan oleh KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September 2020.

Tertuduh yang diwakili peguam, Fazaly Ali didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, seorang anggota Maritim Malaysia berpangkat Laskar Kanan tidak mengaku bersalah atas 43 pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM35,400 daripada pemilik syarikat perkapalan yang sama antara Disember 2016 hingga Disember tahun lalu.

Tertuduh, Adi Haidir Ali, 43, yang berkhidmat di Zon Maritim Tanjung Sedili didakwa melakukan perbuatan itu bagi melepaskan kapal-kapal milik individu berkenaan daripada ditahan, diperiksa dan diambil tindakan membabitkan lokasi di sebuah bank dan di hadapan sebuah klinik di Kota Tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Salleh Togimin itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 31 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, seorang Penolong Pegawai Laut Jabatan Laut, Alias Jaafar, 58, tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan dengan nilai keseluruhan RM5,800 sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh didakwa menerima suapan daripada individu sama bagi mempercepatkan pemeriksaan Flag State Contol kapal-kapal milik individu terbabit.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dua bank berasingan di Jalan Skudai dan Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, sejak 6 April 2019 hingga 30 Julai tahun lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof itu diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Ketiga-ketiga pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!