Penganggur tipu skim pelaburan tidak wujud didakwa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur yang sebelum ini pernah didakwa atas pertuduhan menipu dalam skim pelaburan Yayasan PBI Sedunia yang tidak wujud, dihadapkan lagi ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah lebih RM480,000.

Tham Yik Keong, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Tham, bapa empat anak itu didakwa menerima deposit daripada ahli perniagaan, Lew Yoke Fah, 59, berjumlah RM484,753 tanpa suatu lesen sah yang diberikan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di Bank RHB Kepong, di sini antara 22 Mei dan 2 Jun 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun, peguam Lim Yoi Ping yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dilakukan.

Zamri membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes.

Pada Julai tahun lepas, Tham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung skim pelaburan Yayasan PBI Sedunia yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM121,500. - Bernama

Artikel Berkaitan: