Sikap biadab Israel di Sheikh Jarrah

Polis Israel menahan penduduk Palestin yang berhimpun di Masjid al-Aqsa bagi membantah pengusiran di Sheikh Jarrah. Polis Israel menggunakan kekerasan melampau terhadap penduduk Palestin yang membantah tindakan pengusiran di Sheikh Jarrah.
Polis Israel menahan penduduk Palestin yang berhimpun di Masjid al-Aqsa bagi membantah pengusiran di Sheikh Jarrah. Polis Israel menggunakan kekerasan melampau terhadap penduduk Palestin yang membantah tindakan pengusiran di Sheikh Jarrah.
A
A
A

BAITULMAQDIS - Bukan lagi rahsia bahawa Israel sanggup melakukan apa sahaja termasuk melanggar undang-undang antarabangsa bagi memastikan warganya yang berketurunan Yahudi terus bermaharajalela di tanah jajahannya di Baitulmaqdis Timur.

Ini terbukti apabila pada awal tahun ini sebuah mahkamah daerah di Baitulmaqdis membuat keputusan mengusir beberapa keluarga Palestin yang tinggal di kawasan penempatan Sheikh Jarrah.

Memetik kenyataan jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Rupert Colville pada awal bulan ini bahawa pengusiran itu jika dilaksanakan akan menyebabkan Israel melanggar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.

Di bawah undang-undang itu, pihak penjajah sesebuah wilayah tidak boleh merampas harta benda peribadi di wilayah yang dijajahnya.

Sikap besar kepala Israel ini semakin menjadi-jadi selepas mengisytiharkan sendiri negara haramnya pada tahun 1948 selepas pengunduran British yang menjadi pentadbir sementara Palestin berikutan kejatuhan Empayar Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama.

Pada November 1947, PBB telah mengundi dan membahagikan Palestin kepada dua buah negara iaitu satu untuk penduduk Yahudi dan satu lagi untuk penduduk Arab.

Namun, pembahagian itu menyebabkan konflik dan pertempuran antara kedua-dua pihak di Palestin.

Artikel Berkaitan:

Polis rejim Zionis bertempur dengan penunjuk perasaan yang membantah beberapa keluarga Palestin diusir dari Sheikh Jarrah pada 7 Mei lalu.
Polis rejim Zionis bertempur dengan penunjuk perasaan yang membantah beberapa keluarga Palestin diusir dari Sheikh Jarrah pada 7 Mei lalu.

Dalam kes di Sheikh Jarrah, pengusiran di kawasan penempatan itu berlaku selepas sebuah pertubuhan peneroka haram Yahudi, Nahalat Shimon membuat tuntutan undang-undang dengan mendakwa bahawa sebelum tahun 1948, harta benda milik keluarga-keluarga tersebut adalah pada asalnya milik penduduk Yahudi.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya penduduk Palestin dan menuduh mahkamah mengeluarkan keputusan berat sebelah dan memihak kepada Yahudi.

Konflik diburukkan lagi apabila Israel membedil Genting Gaza dalam tindakan konfrontasi selama 11 hari dengan pejuang Hamas dan Islamic Jihad.

Serangan itu berlaku ketika ratusan penduduk Palestin memprotes tindakan pengusiran di Sheikh Jarrah di pekarangan Masjid al-Aqsa.

Tindakan ganas Israel di Genting Gaza menyaksikan lebih 200 penduduk Palestin terkorban dan hampir 3,000 lagi cedera.

Difahamkan, kawasan penempatan Sheikh Jarrah pernah menjadi tumpuan antarabangsa beberapa tahun lalu selepas mahkamah Israel mengarahkan pengusiran tiga keluarga Palestin ekoran satu siri tuntutan undang-undang oleh pihak Yahudi.

Sheikh Jarrah merupakan kawasan penduduk Palestin yang terletak kira-kira dua kilometer dari Bandar Lama Baitumaqdis Timur yang menempatkan Masjid al-Aqsa.

Sejak bertahun-tahun lamanya, mahkamah-mahkamah Israel mendengar kes-kes tuntutan harta benda dan tanah daripada persatuan-persatuan peneroka haram Yahudi ke atas penduduk Palestin.

Mahkamah Israel turut mendengar kes-kes rayuan daripada keluarga Palestin yang diusir dari kediaman mereka tetapi semua kes tersebut dimenangi oleh persatuan-persatuan peneroka haram Yahudi.

Pada penghujung tahun 2000, peneroka-peneroka haram Yahudi mengibarkan bendera Israel di rumah-rumah yang berjaya dirampas daripada keluarga Palestin melalui saluran mahkamah di Sheikh Jarrah.