Tumpahan bahan kimia: Kilang plastik diarah jalankan pembersihan

 S Veerapan
S Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengarahkan sebuah kilang plastik di Kawasan Perindustrian Senawang dekat sini menghentikan serta-merta operasi susulan insiden tumpahan bahan kimia sehingga menyebabkan berlaku pencemaran bau.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, kilang terbabit juga diarahkan menjalankan kerja pembersihan tumpahan berkenaan.

JAS juga menjalankan pengawasan kualiti udara bermula Jumaat dari 8 malam hingga 12 tengah malam dan pemantauan bersambung Sabtu hingga 8 malam nanti di kawasan petempatan penduduk terjejas di Lorong 7, Taman D’Latania, katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kertas siasatan akan dibuka sekiranya pemeriksaan pasukan JAS negeri mendapati berlaku kecuaian sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar dan boleh didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pada Jumaat, media melaporkan aduan orang awam mengenai bau kurang menyenangkan di kawasan berkenaan pada kira-kira 12.55 tengah hari.

Siasatan awal mendapati berlaku kebocoran semasa pemindahan bahan kimia Methyl mathacrylate yang diambil daripada tangki ‘Intermediate Bulk Container’.

Insiden menyebabkan bahan kimia berkenaan melimpah memasuki perparitan awam. - Bernama

Artikel Berkaitan: