X

Kindly register in order to view this article
!

145,173 panggilan bantuan sokongan babit isu kesihatan mental

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Statistik panggilan bantuan yang diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021 mendapati 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, isu kesihatan mental itu ialah seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui 2020 dan 2021 merupakan tahun yang amat mencabar serta tidak dapat dinafikan bahawa rakyat terkesan secara psikologi dan emosi akibat pandemik Covid-19.

“Punca yang dikenal pasti ialah hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma dan kurang akses kepada perkhidmatan bantuan.

“Data Kementerian Kesihatan mendapati dalam tempoh Januari hingga Disember 2020, sejumlah 1,080 kes cubaan bunuh diri telah dilaporkan menerima rawatan di hospital KKM,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Statistik itu diterima menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan secara Kerjasama KKM-Mercy Malaysia dan juga talian agensi kerajaan lain seperti Talian Kasih oleh KPWKM dan Talian KSK-Care oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, sejak Januari 2020, KKM telah mengaktifkan pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di peringkat negeri serta daerah untuk memberi sokongan emosi kepada individu terkesan seperti pesakit Covid-19, petugas barisan hadapan dan keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19.

“Pasukan MHPSS ini terdiri daripada Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pakar Perubatan Keluarga, Pakar Psikiatri, Pegawai Psikologi (Kaunseling dan Klinikal), Paramedik, Pegawai Sosial Perubatan dan Pegawai Pemulihan Carakerja serta individu terlatih daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“KKM telah melaksanakan aktiviti-aktiviti psikososial di lapangan termasuk di Stesen-Stesen Kuarantin dan Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah,” katanya.

Dr Adham berkata, aktiviti yang dijalankan adalah saringan kesihatan mental, psiko-pendidikan melalui infografik yang disebarkan secara digital, Bantuan Awal Psikologi, kaunseling, rawatan dan konsultasi serta rujukan kepada pakar bagi kes yang memerlukan.

Selain itu, katanya, taklimat prapengerahan diberikan kepada petugas barisan hadapan sebagai persediaan mental sebelum mereka dimobilisasikan ke lapangan.

Beliau berkata, KKM akan terus melaksanakan beberapa inisiatif untuk menangani permasalahan mental yang kian meningkat antaranya mempergiat advokasi Kempen Let's TALK Minda Sihat dan memastikan pelaksanaan aktiviti Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Antara pelan strategik berkenaan adalah meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan penyalahgunaan substans serta alkohol melalui sistem digital dan teknologi terkini secara kolaborasi pintar bersama agensi kerajaan lain dan NGO.

"Selain itu, mempertingkat perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental melalui penambahan sebanyak 40 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) menjelang 2025 (ketika ini 28),” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!