Ikhlas bantu penumpang OKU, pemandu Grab tolak bayaran

KUALA LUMPUR – Keikhlasan membantu tanpa mengharapkan balasan mendorong seorang rakan pemandu Grab, Aidid Ibrahim, 48, menghantar seorang penumpang orang kurang upaya (OKU) ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tanpa mengenakan sebarang bayaran tambahan.
Kejadian pada 9 Oktober lalu itu berlaku apabila penumpang berkenaan tersilap menempah perjalanan ke sebuah Klinik Kesihatan, sedangkan destinasi sebenar yang ingin dituju ialah HKL.
Kesilapan itu hanya disedari sebaik tiba di klinik berkenaan. Bagaimanapun, apabila penumpang tersebut tidak dapat menukar destinasi menerusi aplikasi, Aidid menawarkan bantuan dengan memilih untuk berada di luar talian sebelum meneruskan perjalanan ke HKL.
Lebih menyentuh hati, Aidid menolak dengan baik apabila penumpang itu cuba menghulurkan bayaran atas bantuan diberikan.
Baginya, tindakan tersebut bukan soal bayaran, sebaliknya atas dasar memahami kesulitan yang dihadapi kerana beliau sendiri merupakan seorang OKU.

Keesokan harinya, penumpang berkenaan menghantar e-mel bagi menyampaikan penghargaan dan memohon supaya Aidid diberikan pengiktirafan rasmi atas keikhlasannya membantu.
Susulan itu, Pengerusi Persatuan Rakan Grab Malaysia (PRGM), Shanlee Tan Shamsuri bersama Ketua Biro Kebajikan PRGM, Mohd Nassir Sulaiman dan Ketua Biro Orang Kuat Usaha (OKU) PRGM, Badrolshah Abdul Manan bertemu Aidid bagi meraikan kebaikan hati serta menyampaikan penghargaan atas tindakannya.
Shanley berkata, kisah berkenaan turut memperlihatkan bagaimana sikap saling memahami dan kesediaan membantu mampu memberi makna besar kepada kehidupan seseorang, meskipun melalui tindakan yang dianggap kecil.
"Terima kasih, Aidid, kerana menunjukkan bahawa dalam setiap perjalanan, sentiasa ada ruang untuk kita menjaga satu sama lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Grab turut membuka peluang pendapatan kepada komuniti OKU menerusi penyertaan sebagai rakan-pemandu dan rakan-penghantar.
"Menerusi inisiatif itu, rakan-pemandu dan rakan-penghantar berstatus OKU menikmati pengecualian komisen serta menerima sepenuhnya bayaran upah bagi menyokong usaha mereka mencari rezeki dan membina kehidupan lebih berdikari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
