Pengalaman PKP lepas bantu elak pembelian panik

Orang ramai mula membeli-belah barang keperluan asas sebagai membuat persiapan berikutan kerajaan dijangka memutuskan cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara pada Jumaat. - Foto Bernama
Orang ramai mula membeli-belah barang keperluan asas sebagai membuat persiapan berikutan kerajaan dijangka memutuskan cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengalaman berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, membuatkan masyarakat di negeri ini lebih tenang dalam mendepani kemungkinan PKP dilaksanakan sekali lagi secara menyeluruh.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kompleks beli belah sekitar daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Mersing petang Jumaat mendapati, aktiviti jual beli barangan keperluan harian berjalan lancar, dengan pembelian barangan dibuat berdasarkan keperluan sahaja.

Di Batu Pahat contohnya, kawasan perkarangan empat buah premis niaga yang ditinjau lengang dan tidak bersesak-sesak.

Jika terdapat pengunjung sekalipun, tidak kelihatan kehadiran kanak-kanak dan warga emas di premis berkenaan, sekali gus menyaksikan kadar pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) normal baharu.

Di Mersing pula, tidak banyak kenderaan bersesak di jalan raya utama menuju ke pasar raya berdekatan untuk membeli barangan keperluan, meskipun terdapat ura-ura PKP menyeluruh dilaksanakan.

Pekerja swasta, Fatihah Shaarani, 29, yang ditemui berkata, dia selesa membeli barangan asas hanya apabila keperluan dirumahnya habis.

“Sejak pandemik ini, saya juga lebih banyak membeli barang mentah seperti ayam dan ikan secara dalam talian kerana lebih mudah dan dihantar terus ke rumah,” katanya.

Sementara itu, pekerja pasar raya di Johor Bahru yang hanya mahu dikenali sebagai Asyikin, 24, berkata, terdapat peningkatan bilangan pelanggan di tempat kerjanya pada Jumaat, bagaimanapun tiada pembelian barangan dalam kuantiti besar dilakukan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Rasanya orang ramai sudah lebih bijak dalam merancang perbelanjaan mereka, kerana dalam tempoh PKP bukannya kita tidak boleh keluar rumah langsung,” katanya.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan memberi ‘signal’ bahawa kerajaan akan membuat keputusan PKP menyeluruh, selepas mesyuarat antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua Menteri Besar atau Ketua Menteri. - Bernama