Permohonan bantuan peniaga bazar Ramadan Selangor dibuka

Notis makluman yang dikeluarkan Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat SUK Selangor pada Jumaat.
Notis makluman yang dikeluarkan Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat SUK Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Peniaga bazar Ramadan di enam daerah di Selangor yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh membuat permohonan bantuan khas sebanyak RM500 mulai Jumaat.

Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menerusi satu kenyataan memaklumkan, tempoh permohonan itu dibuka sehingga 30 Jun depan.

Menurut kenyataan itu, penyaluran bantuan RM500 akan dilaksanakan terus ke akaun bank pemohon dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh permohonan sekiranya maklumat lengkap.

"Kelayakan pemohon mestilah peniaga bazar Ramadan yang berlesen atau berdaftar sama ada di bawah Majlis atau penganjur (berdaftar dengan Majlis) sahaja yang layak menerima bantuan," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan itu memaklumkan, setiap peniaga hanya layak menerima sekali sahaja bantuan walaupun mempunyai lebih daripada satu petak bazar atau lesen daripada Majlis yang sama atau berbeza.

"Sistem akan menolak secara automatik mana-mana nombor kad pengenalan yang telah digunakan sebagai permohonan lengkap.

"Pemohon yang layak hendaklah mengisi maklumat peribadi termasuk nombor akaun bank yang masih aktif bagi tujuan penyaluran bantuan," ujarnya.

Kenyataan itu memberitahu, maklumat pemohon dan maklumat akaun bank hendaklah individu sama

Artikel Berkaitan:

bagi memastikan bantuan disalurkan terus serta mengelakkan masalah teknikal.

"Sekiranya pemohon mempunyai masalah akaun bank seperti muflis, tidak aktif dan sebagainya, penyaluran bantuan akan dikendalikan secara berasingan," katanya.

Menurut kenyataan itu, pemohon hendaklah memastikan segala maklumat yang dikemukakan adalah benar, sahih dan tepat mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Peniaga bazar Ramadan di enam daerah terbabit perlu melayari laman web www.selangorprihatin.com atau menghubungi Selangor Health Care (SelCare) di talian hotline 1-800-22-6600 bagi menyemak kelayakan menggunakan nombor kad pengenalan masing-masing sebelum menghantar permohonan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas RM500 kepada peniaga bazar Ramadan di enam daerah di Selangor yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Enam daerah itu iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Bantuan itu berikutan pengumuman penutupan peniaga bazar Ramadan yang tidak dapat lagi beroperasi sepanjang PKP mulai 8 Mei lalu.