Malaysia tuan rumah skuasy lelaki berpasukan dunia

Gambar hiasan 123rf.
Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

MALAYSIA akan menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Lelaki Berpasukan Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) 2021, di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil pada 7 hingga 11 Disember, selepas kali terakhir menganjurkannya pada 1997.

Kejohanan dunia itu pada asalnya dijadualkan di Tauranga, New Zealand, namun terpaksa dipindahkan disebabkan sekatan perjalanan yang ketat di negara itu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, di mana kemasukan penumpang dari semua negara pada masa ini dikawal ketat.

Menurut pengumuman WSF di laman sesawang mereka https://www.worldsquash.org, ia juga merupakan kejohanan pertama diadakan di Asia sejak edisi 2007 di Chennai, India.

"Kami secara amnya kecewa kerana kami tidak dapat kembali ke New Zealand, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada New Zealand atas sokongan mereka dan kerja-kerja yang telah dilakukan sebelum keputusan ini dibuat. Kami berterima kasih kepada negara-negara yang menawarkan bantuan mereka, dan terutamanya Malaysia kerana bersetuju untuk menganjurkannya walaupun pada notis yang agak singkat.

"Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mempunyai kedudukan yang baik dalam menganjurkan kejohanan utama skuasy, jadi kami bertuah untuk mendapatkan tuan rumah alternatif yang berupaya dan bersedia, dan kami teruja untuk bekerjasama rapat untuk menganjurkan satu kejohanan kelas terbaik sebagai menutup tahun ini,” kata Presiden WSF Zena Wooldridge.

Sementara itu, Presiden SRAM Gerard Monteiro, mengucapkan terima kasih kepada Zena dan WSF atas kepercayaan terhadap keupayaan mereka, dengan memberikan hak penganjuran itu kepada Malaysia.

"Kami mengalu-alukan pasukan dari seluruh dunia untuk berkumpul di Kuala Lumpur, untuk satu sambutan skuasy lengkap dengan hospitaliti Malaysia yang terkenal.

"Sebagai seorang peminat skuasy, saya percaya tidak ada persembahan sukan yang lebih baik daripada melihat pemain skuasy profesional bermain dalam kejohanan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kejohanan dunia itu diharapkan menjadi pengganti kepada SRAM, selepas kehilangan hak penganjuran kejohanan Berpasukan Wanita Dunia akibat pandemik.

Malaysia telah menyertai Kejohanan Skuasy Lelaki Berpasukan Dunia 18 kali sejak 1979, namun tidak pernah mencapai tempat ketiga terbaik dengan kedudukan terbaik dicapai dengan menduduki tempat kelima pada edisi 2011 dan 2005.

Malaysia menduduki tempat kesembilan pada edisi 2019 di Washington, Amerika Syarikat, yang dimenangi kuasa skuasy dunia, Mesir.