Taktik guna bot klon gagal, 29 nelayan asing ditahan

Semua kru dan tekong warga Vietnam akan menjalani saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. - Foto: Maritim Kemaman
Semua kru dan tekong warga Vietnam akan menjalani saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. - Foto: Maritim Kemaman
A
A
A

KEMAMAN – Taktik sebuah bot nelayan asing menggunakan nombor pendaftaran tempatan disyaki palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak berhasil apabila berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pada Rabu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot dipercayai klon itu ditahan di perairan Terengganu pada kedudukan lebih kurang 36 batu nautika timur laut Kuala Kemaman sekitar jam 7.31petang.

Menurutnya, pihaknya turut menahan 29 kru termasuk tekong warga Vietnam yang kesemua mereka berumur antara 22 hingga 54 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 22 kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan bot disyaki menggunakan lesen tempatan yang meragukan.

“Kita turut merampas peralatan menangkap ikan, bekalan diesel kira-kira 1,500 liter, ikan campur dan ikan baja anggaran seberat enam tan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang RM1.6 juta.

“Bot, tahanan dan hasil rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bot menggunakan nombor pendaftaran tempatan disyaki palsu yang digunakan oleh nelayan asing. - Foto: Maritim Kemaman
Bot menggunakan nombor pendaftaran tempatan disyaki palsu yang digunakan oleh nelayan asing. - Foto: Maritim Kemaman

Rashidilhadi berkata, usaha nelayan asing menggunakan nombor pendaftaran tempatan berjaya dihidu kerana ciri dan struktur fizikal bot tersebut menyerupai bot nelayan Vietnam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah serta menceroboh perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan serta kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.

“Orang ramai juga disarankan memberi kerjasama untuk membantu menangani sebarang aktiviti jenayah maritim dengan membuat aduan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Terengganu di talian 09-6884357,” katanya.