Restoran letak bahan terlarang dalam masakan?

Mesej yang tular melalui WhatsApp.
A
A

TELUK INTAN - [DIKEMASKINI] Sebuah premis makanan di Teluk Intan diperiksa penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri dan polis selepas terdapat aduan ada pelanggan mengalami simptom khayal selepas mengambil makanan di situ, sejak semalam.

Maklumat awal diterima mengesyaki kejadian berkenaan berkemungkinan ada kaitan dengan penggunaan bahan terlarang dan kejadian itu disedari Isnin lalu apabila seorang anggota polis berada dalam keadaan lemah dan khayal selepas makan di restoran berkenaan.

Bertindak daripada laporan dibuat, satu operasi bersepadu dijalankan semalam oleh anggota polis bersama pegawai Kementerian Kesihatan ke atas restoran berkenaan.

Sumber berkata, pemeriksaan yang dijalankan turut merampas beberapa jenis masakan antaranya kuah lauk, ayam goreng dan sayur selain tiga pekerja premis berkenaan turut ditahan.

"Pemilik premis memaklumkan masakan tidak menggunakan sebarang bahan terlarang atau mengkhayalkan, namun bahan masakan seperti kas-kas ada digunakan sedikit oleh tukang masak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan pemeriksaan yang dilakukan bersama Jabatan Kesihatan di premis berkenaan.

"Kesemua sampel makanan yang dirampas dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh untuk dianalisa dan polis menahan tiga pekerja premis berkenaan yang berusia lingkungan 30 tahun hingga 70-an selepas ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah disyaki opiat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.