AJK positif Covid-19, Masjid Kariah Pasir Puteh diarah tutup

Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan menampal notis penutupan Masjid Kariah Pasir Puteh
Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan menampal notis penutupan Masjid Kariah Pasir Puteh
A
A
A

SEREMBAN - Masjid Kariah Pasir Puteh di sini diarah tutup sementara selama tujuh hari susulan pengesanan kes positif Covid-19.

Berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), arahan penutupan itu bermula Khamis sehingga 20 Mei.

Menurutnya, keputusan penutupan itu dibuat berdasarkan syor daripada Pejabat Kesihatan Daerah Seremban bagi memberi ruang untuk proses mengenal pasti kontak rapat kes positif Covid-19.

"Sebarang perubahan tertakluk kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Kariah Pasir Puteh, Mohd Zuffri Abdullah berkata, terdapat ahli jawatankuasa masjid itu yang disahkan positif.

"Pihak masjid telah maklumkan kepada Pegawai Agama Islam Daerah Seremban supaya tindakan segera dapat diambil bagi mengelak penularan kes.

"Kita juga telah buat pengumuman di masjid dan menghantar mesej di aplikasi WhatsApp kepada penduduk sekitar supaya mereka yang ada kontak rapat dengan mereka didapati positif duduk di rumah dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Jelas beliau, pihak masjid juga telah pun mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat sanitasi.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Rabu melaporkan sebanyak 42 masjid dan surau di Negeri Sembilan diarah tutup sementara dalam tempoh Januari sehingga semalam susulan jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah.

Sinar Harian pada Khamis pula melaporkan semua masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam di Negeri Sembilan tidak dibuka untuk orang awam bermula dari 21 Mei hingga 7 Jun berikutan penularan Covid-19.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, arahan itu dibuat di atas perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk membendung penularan Covid-19.