Lokasi banjir di Ipoh di luar jajaran PLUS

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Laluan yang terlibat dalam kejadian banjir berhampiran susur keluar Jalan Kuala Kangsar di sini sehingga menyebabkan puluhan kenderaan terkandas semalam adalah berada di luar had laluan Lebuhraya PLUS.

PLUS dalam kenyataan berkata, laluan tersebut terletak di Jalan Ampang–Jelapang di Lebuhraya Persekutuan.

"Laluan ini terletak bersebelahan dengan laluan terus Lebuhraya PLUS di antara Ipoh Selatan ke Ipoh Utara.

"PLUS juga ingin memaklumkan bahawa laluan terus di antara Ipoh Selatan-Ipoh Utara di Lebuhraya PLUS tidak terjejas akibat kejadian banjir yang terletak di kawasan luar bersebelahan lebuh raya. Semua laluan di Lebuhraya PLUS boleh dilalui oleh semua kenderaan seperti biasa," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pihak PLUS juga bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya Perak dan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan bagi membantu serta meletakkan anggota operasi bagi menangani situasi tersebut untuk memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya.

Pada Khamis, puluhan kenderaan dilaporkan terkandas di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Jalan Kuala Kangsar apabila laluan itu dinaiki air akibat hujan lebat, pada sebelah petang.

Hujan lebat berlarutan sehingga pukul 4 petang itu telah mengakibatkan takungan air berlaku di kawasan terbabit hingga menghalang laluan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, keadaan itu menyebabkan laluan terbabit tidak selamat dan lencongan keluar telah dibuat di susur Gunung Lang bagi mengelak kesesakan lebih teruk. - Bernama

Artikel Berkaitan: