Ajaib kalau tidak pernah kena tipu

Gambar sekadar hiasan. SumberFoto:Tubular Insights
Gambar sekadar hiasan. SumberFoto:Tubular Insights
A
A
A

PENIPUAN berlaku dalam segala bidang dan urusan di muka bumi ini. Dalam politik, dalam kelulusan akademik di pelbagai lapisan masyarakat yang jadi riuh-rendah kebelakangan ini dan dalam perniagaan apa lagilah.

Bahkan hakikat bahawa ada yang sanggup guna agama untuk menipu bukan perkara baharu yang patut jadi kejutan lagi. Sama ada ini adalah tanda-tanda dunia sudah hampir kiamat bukanlah untuk saya berhujah kerana bukan bidang saya.

Setahu saya, penipuan dan pembohongan, sama ada secara berunsur samar-samar atau tipu secara terang-terangan, berlaku dari zaman dahulu kala hinggalah ke saat ini.

Untuk artikel ini, saya hanya mahu memberi komen dan pandangan berkaitan penipuan dalam penjualan dan pembaikan kenderaan.

Pada saya, ini adalah antara kes yang paling kerap berlaku dan melibatkan paling ramai individu kerana hampir semua orang memiliki kenderaan.

Adalah satu keajaiban kalau ada sesiapa yang mengaku tidak pernah tertipu, terkeliru, kecewa atau rasa ditipu dalam usaha mendapatkan khidmat baiki kenderaan atau mendapatkan ganti rugi.

Setengahnya, kerana enggan sakitkan kepala memikir bagaimana hendak dapatkan tuntutan atau dapat khidmat yang memuaskan apabila berlaku kerosakan, pelanggaran atau kecacatan kepada kenderaan, tidak mahu langsung buat sebarang tuntutan, tapi pilih bayar sendiri sahaja.

Sekurang-kurangnya mereka dapat lihat kenderaan yang rosak dibaiki segera, walaupun tahu terpaksa bayar tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sebab itu saya sokong 100 peratus apabila Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan, menggesa kerajaan untuk melaksanakan apa yang disebut sebagai “Lemon Law”, iaitu undang-undang yang merupakan cara bagi mengatasi masalah yang dihadapi pembeli produk pengguna, terutama sekali kenderaan bermotor, yang berulang kali gagal untuk memenuhi standard kualiti dan prestasi.

Jangan keliru. Lemon Law tiada kaitan dengan limau atau perayaan Tahun Baharu Cina yang baru lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan atas nama presiden CAP, S M Idris, Lemon Law adalah undang-undang yang mengukuhkan Akta Perlindungan Pengguna.

Katanya, ia perlu diperkenalkan bagi membolehkan pengguna yang memegang ‘limau’ (senang untuk dilihat tetapi masam dan tajam rasanya) mendapatkan ganti rugi melalui perundangan.

Undang-undang ini memerlukan kereta yang rosak dibaiki atau diganti.

Katanya, pengguna mungkin meminta pengurangan dalam harga atau mendapatkan bayaran balik.

Mungkin bagi sebilangan besar masyarakat kita, Lemon Law bunyi ganjil kerana inilah kali pertama kita mendengar nama tersebut, tetapi ia bukan baharu di sesetengah negara.

Pada masa ini negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Korea Selatan, China dan Filipina telah pun melaksanakan Lemon Law ini.

Lemon Law digabungkan dalam Akta Perlindungan Pengguna Singapura (Perdagangan yang Adil) (CPFTA) 2004. Kita boleh juga berbuat demikian dengan Akta Perlindungan Pengguna (CPA) 1999. Ia mempertimbangkan:

1. Masalah sebenar.

2· Bilangan hari kenderaan tidak dapat digunakan oleh pengguna kerana dibaiki bagi masalah mekanikal yang sama.

3· Bilangan usaha pembaikan yang dibuat.

4· Jika pembaikan tidak dapat disempurnakan dalam tempoh bilangan hari yang dinyatakan dalam Akta, pengeluar wajib membeli balik kenderaan yang rosak.

5· Lemon Law juga meliputi kereta terpakai, memperkenalkan senarai Laporan Standard Penilaian Kenderaan.

Senarai ini terdiri daripada visual, peralatan dan pemeriksaan ujian jalan oleh pengedar dan pembeli untuk memastikan ketelusan.

6· Ia meliputi pelbagai kecacatan daripada estetika hinggalah kepada masalah berkaitan mekanikal. Dalam kebanyakan kes, pelbagai kecacatan yang ditemui dalam kereta baharu menyebabkan pemilik kereta tiada pilihan melainkan membaiki kereta di bengkel kereta bertauliah. Pemilik kenderaan mungkin berhadapan:

7· Bengkel akan melakukan pembaikan secara cuba-cuba, membaiki satu bahagian untuk mencari masalah yang tidak dapat diselesaikan. Kemudian meneruskan dengan pembaikan yang lain.

Pusat perkhidmatan ini mengambil masa sehingga tempoh jaminan tamat dan pemilik kereta. Kemudian pemilik terpaksa membayar pembaikan selanjutnya daripada kerosakan yang sama.

8· Diagnosis jurutera yang salah dan mencari kesalahan pemilik kenderaan (seperti melebihi tempoh penyenggaraan) untuk menafikan tuntutan bagi kerosakan utama.

9· Terdapat kes kenderaan terbiar di bengkel selama berbulan, sehingga enam bulan atau lebih dan masih tidak dapat menyediakan diagnosis, apatah lagi membaiki kenderaan itu.

10· Pusat servis kereta yang enggan untuk mengakui kerosakan tidak boleh diperbaiki dan ia tidak perlu untuk bayaran balik atau menggantikannya dengan kereta yang lain sepertimana yang dikehendaki oleh CPA 1999.

11· Kerugian daripada penggunaan kereta setiap kali ia berada di bengkel.

Oleh sebab itu, ia tepat untuk memastikan bilangan hari kereta baharu menjalani pembaikan sebelum pemilik boleh memfailkan kes di Tribunal.

12· Ketidaktentuan berapa lama kenderaan akan berada di pusat servis.

Demikianlah masalah dan tipu helah yang berlaku di setengah bengkel dan pusat servis. Menurut SM Idris, CAP telah menerima pelbagai aduan daripada pengguna berhubung pelbagai kerosakan terhadap kereta sejak beberapa tahun dahulu.

“Banyak surat dan peringatan telah dihantar kepada pengedar kereta dan agensi kerajaan yang berkaitan tetapi kami sering menerima penafian, jawapan yang mengelak atau maklum balas yang lambat. “Agensi kerajaan yang manakah bertanggungjawab dalam memantau industri ini?” beliau bertanya.

Memang tepat kata SM Idris, kereta yang rosak bukan hanya mencekik darah pengguna, ia juga tidak selamat di jalan raya dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Menurutnya, dengan Lemon Law di Singapura, pengguna boleh:

a· Membuat tuntutan bagi produk yang rosak (juga dikenali sebagai limau) yang dibeli dalam tempoh 6 bulan.

b· Mengharapkan penjual produk yang rosak untuk membaiki, mengganti, membayar balik atau mengurangkan harga produk yang rosak. Tentunya ia tertakluk kepada keadaan tertentu.

c· Memastikan produk yang rosak dibaiki dalam tempoh masa yang munasabah dengan kos ditanggung penjual.

d· Memastikan produk yang rosak diganti dalam tempoh masa yang munasabah dengan kos ditanggung penjual.

e· Meminta pengurangan harga ketika produk itu disimpan atau mengembalikan produk untuk bayaran balik jika penjual gagal untuk membaikinya.

Dalam kenyataan CAP menggesa kerajaan memperkenalkan Lemon Law.

Ia juga menyarankan kereta yang didapati rosak dibaiki dalam tempoh maksimum sebulan.

“Kami sekali lagi mengulangi bahawa kerajaan perlu memperkenalkan Lemon Law untuk memastikan pengeluar kereta bertanggungjawab bagi kerosakan produk mereka dan untuk membaiki kenderaan dengan memuaskan sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Bilangan kereta baharu yang rosak yang dihadapi oleh rakyat Malaysia tidak mendapat pembelaan dengan ketiadaan ruang bagi mendapatkan ganti rugi daripada perundangan amat membimbangkan,” katanya.

* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai pelbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara