Covid-19: Tun Dr Siti Hasmah seru semua rakyat berdoa esok

Tun Dr Siti Hasmah
Tun Dr Siti Hasmah
A
A
A

SHAH ALAM - Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menyeru rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama meluangkan masa untuk berdoa supaya dilindungi serta bebas daripada penyakit Covid-19 pada Jumaat.

Beliau berkata, ia berikutan kes jangkitan Covid-19 pada setiap hari meningkat sehingga menyebabkan hospital semakin penuh dan sesak dengan pesakit Covid-19.

Tambah Dr Siti Hasmah, bilik mayat juga tidak lagi mampu menampung jumlah kematian yang begitu banyak.

“Oleh itu, saya menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa pada hari Jumaat (21 Mei) antara jam 12 tengah hari dan 1 petang di mana juga anda berada sama ada di rumah ataupun di pejabat, marilah kita meluangkan masa berdoa kepada Tuhan.

"Ini supaya kita semua dilindungi dan Malaysia bebas daripada penyakit Covid-19,” katanya menerusi perkongsian di Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Khamis.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada mereka yang akan turut serta dalam kempen #Malaysiaberdoa yang diadakan pada Jumaat (esok).

“Semoga Tuhan memberkati usaha kecil kita ini,” ujarnya.

Pada Rabu, Malaysia sekali lagi merekodkan kes harian tertinggi dengan 6,075 kes baharu positif Covid-19 sekali gus menjadi yang tertinggi sejak pandemik itu berlaku Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia sehari selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kematian tertinggi berkaitan Covid-19 pada Selasa iaitu 47 kes.