Covid-19: Wakil rakyat Johor duduk semeja minggu depan

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perbincangan dua hala membabitkan wakil rakyat di Johor akan diadakan pada minggu depan bagi bersama-sama mendepani usaha menangani wabak Covid-19.

Ia susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang meminta semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini mengadakan perbincangan berhubung kebajikan rakyat Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad turut memberikan jaminan perkara yang dibincangkan akan diangkat kepada Majlis Keselamatan Negara.

"Patik menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Patik percaya, perbincangan ini akan lebih memperkukuh dan menambah baik segala usaha yang telah dan akan diambil kerajaan negeri Johor dan kerajaan Persekutuan untuk membendung pandemik Covid-19.

"Ini termasuklah meningkatkan kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sedia ada dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Negeri Johor.

"Meskipun Ordinan Darurat sedang berkuat kuasa, kerajaan negeri akan memastikan Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk melihat kelancaran perbincangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan pada Khamis menyeru agar satu perbincangan secara pemesyuaratan diadakan dalam kalangan semua ahli Parlimen dan ADUN di Johor dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor.

Titah Baginda, melalui perbincangan itu, semua ahli Parlimen dan ADUN boleh memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Bangsa Johor.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Sultan Ibrahim seru perbincangan semua ahli Parlimen, ADUN

Covid-19: PH Johor sedia berbincang dengan kerajaan negeri