Covid-19: 80 peratus sukarelawan MyVac divaksin

Wan Ahmad Fayhsal (tiga dari kanan) turun padang meninjau keadaan di PPV Zon Klang Utara pada Khamis.
Wan Ahmad Fayhsal (tiga dari kanan) turun padang meninjau keadaan di PPV Zon Klang Utara pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Sekitar 80 peratus sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) dilaporkan telah menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurut beliau, langkah itu merupakan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melindungi sukarelawan terlibat menerusi pemberian vaksin tersebut.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, sehingga kini, seramai 13,455 individu telah mendaftar untuk menjadi sukarelawan MyVac bagi bersama-sama membantu melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Daripada jumlah itu, seramai 1,306 sukarelawan telah mula bertugas di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) seluruh negara.

"Selain itu, ramai lagi sukarelawan akan diserapkan untuk bertugas apabila Program PICK fasa ketiga bermula nanti," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di PPV Zon Klang Utara pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal berkata, seramai 60 orang sukarelawan juga akan ditugaskan bagi membantu melancarkan operasi di sebuah PPV baharu yang mula beroperasi pada 24 Mei depan.

Beliau berkata, PPV itu akan beroperasi di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam dengan kapasiti 3,000 orang penerima vaksin setiap hari.

"Seperti dikatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini, proses pemberian vaksin adalah berjalan lancar malah prosesnya akan lebih laju sewaktu fasa ketiga program PICK nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan mensasarkan untuk mencapai 150,000 suntikan vaksin sehari menjelang peringkat kemuncak pelaksanaan fasa ketiga Program PICK yang dijangka bermula pada Mei 2021 hingga Februari 2022.