Masjid di Perlis ditutup kepada orang awam

Masjid Al-Maghfirah, Sungai Korok salah sebuah masjid di negeri Perlis.
Masjid Al-Maghfirah, Sungai Korok salah sebuah masjid di negeri Perlis.
A
A
A

ARAU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengarahkan agar masjid-masjid di negeri itu ditutup kepada orang awam mulai Khamis sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs bertitah, keputusan itu diambil setelah meneliti peningkatan ketara penularan semasa Covid-19 dalam negara serta kewujudan kluster baharu melibatkan sebuah syarikat perkhidmatan yang terletak di Kampung Bakau, Kangar.

Baginda bertitah, susulan itu umat Islam diseru untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di rumah dan menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor.

"Hanya pegawai-pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid sahaja yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu secara berjemaah di masjid.

"Jumlah jemaah termasuk imam atau khatib adalah tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang. Kebenaran khas juga diberikan kepada tambahan anggota keselamatan yang bertugas mengawal aktiviti pengimarahan," titah baginda menerusi suatu kenyataan di sini pada Khamis.

Syed Faizuddin bagaimanapun bertitah, jawatankuasa yang hadir disyaratkan tidak melebihi usia 59 tahun serta tidak mempunyai penyakit kronik serta berisiko menularkan wabak.

"Mereka atau ahli keluarga yang terlibat melakukan aktiviti rentas sempadan sama ada pada setiap hari, hujung minggu atau secara berkala juga dilarang untuk hadir ke masjid," titah baginda.

Baginda bertitah, mereka yang hadir juga dilarang melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan dan mestilah berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid.

Artikel Berkaitan:

"Solat juga diutamakan untuk dilaksanakan di kawasan yang lebih terbuka seperti di anjung masjid dan hendaklah memendekkan masa keberadaan di masjid dalam tempoh masa bermula azan hingga selesai solat di masjid termasuk solat Jumaat adalah 15 minit sahaja," titah baginda.

Syed Faizuddin menambah, tiada aktiviti lain seperti pengajian, kuliah, jamuan, dan seumpamanya yang dibenarkan di masjid buat masa ini bagi mempertingkatkan kawalan dan ikhtiar untuk memutuskan jangkitan.

"Sebagai alternatif, rakyat masih boleh meneruskan pengajian secara dalam talian, antaranya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis.

"Bagaimanapun solat jenazah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan terhad kepada petugas dan keluarga terdekat sahaja dengan tidak melebihi 12 orang," titah baginda.

Titah baginda lagi, bagi mereka yang bermusafir, solat sebolehnya dilaksanakan di penginapan. Namun bagi aktiviti musafir tanpa penginapan, ruang solat disediakan di anjung luar masjid pada tiga waktu iaitu pada Jam 5.30 petang hingga 6.30 petang, Untuk solat Jamak Taakhir Zohor dan Asar;

"Jam 9.30 malam hingga 10.30 malam, untuk solat Jamak Taakhir Maghrib dan Isyak; serta bagi solat Subuh, ruang berkenaan disediakan pada jam 6.30 pagi hingga 7 pagi sahaja.

"Para musafir hendaklah mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk membawa sejadah sendiri serta menunaikan solat berjemaah yang terhad bilangannya tiga orang, dan hanya melibatkan mereka yang bermusafir dalam kenderaan yang sama sahaja," titah baginda.

Berkaitan pelaksanaan akad nikah, Syed Faizuddin bertitah, akad nikah boleh dilaksanakan di premis persendirian dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Sebagai langkah kawalan dan penyelarasan, tiada surau atau tempat solat umum yang dibenarkan untuk dibuka melainkan dengan kebenaran khas daripada pihak MAIPs melalui JAIPs," titah baginda.

Baginda bertitah, pihak berkuasa agama negeri sentiasa meneliti perkembangan semasa penularan wabak dan akan memanjangkan keperluan ketetapan terkini berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.