Salur maklumat jemaah solat dalam gelap

Shafien (tiga dari kanan) memantau sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima, Bachok.
Shafien (tiga dari kanan) memantau sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima, Bachok.
A
A
A

BACHOK - Polis Kelantan meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh sekumpulan 40 kariah yang didakwa solat berjemaah dalam gelap di sebuah surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 di Kampung Pauh Lima di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya sedia maklum berhubung perkara itu namun belum menerima laporan rasmi bagi membuka kertas siasatan.

“Kami memerlukan bukti daripada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat seperti sekeping gambar sekali pun sudah mencukupi seperti kes artis, Neelofa.

“Saya juga difahamkan akan ada pihak membuat laporan selepas ini dan polis akan mengambil keterangan berhubung hal ini kerana isu pelanggaran SOP adalah sesuatu yang serius dalam usaha mengelang pandemik,” katanya kepada pemberita di Kampung Pauh Lima, di sini pada Rabu.

Beliau sebelum itu bersiaran langsung bersama Facebook Sinar Harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung berkenaan.

Gambar surau yang didakwa menjadi lokasi 40 kariah sembahyang secara bersembunyi di dalam gelap.
Gambar surau yang didakwa menjadi lokasi 40 kariah sembahyang secara bersembunyi di dalam gelap.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Dalam perkembangan sama, Shafien berkata, pihaknya mengesan empat lagi laluan tikus di kawasan PKPD Pauh Lima menjadikan keseluruhan 12 laluan dengan kon dan sekatan didirikan bagi menggelak pembolosan keluar atau masuk di lokaliti itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita menggunakan kekuatan 104 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) bagi memantau perlaksanaan PKPD Pauh Lima membabitkan Mukim Banggu, Kota Bharu dan Mukin Gunung, Bachok.

“Saya ingatkan orang ramai dan pengguna jalan raya bahawa tidak boleh melalui atau masuk kawasan PKPD manakala penduduk pula tidak dibenarkan keluar dari kawasan ini,” katanya.

Ujarnya, pesalah yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (342) yang dikuatkuasakan dalam negara ketika ini.