CIMB teruskan program bantuan kewangan di bawah PKP 3.0

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB) telah meneruskan program bantuan kewangan mereka untuk pelanggan yang terjejas berikutan pelanjutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut bank itu, bantuan berkenaan termasuk Program Bantuan Pembayaran Bersasar yang diperluaskan untuk individu B40 dan perusahaan mikro serta penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman dan pembiayaan yang dilaksanakan pada masa ini bagi individu M40 dan pelanggan lain yang terjejas.

"CIMB menyedari pelanggan terus berhadapan dengan masalah kewangan dalam persekitaran yang mencabar ini dan bersedia untuk membantu.

"Pelanggan diberi jaminan bahawa sebarang bantuan kewangan yang diambil tidak akan mempengaruhi status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat mereka," katanya.

Sementara itu, setakat pertengahan Mei, CIMB telah memberikan bantuan pembayaran kewangan berjumlah lebih daripada RM21 bilion kepada kira-kira 160,000 peminjam individu dan PKS, dengan kadar kelulusan hampir 100 peratus.- Bernama

Artikel Berkaitan: