Digitalkan kebenaran rentas negeri

No Image Caption
A
A
A

RASA tidak puas hati disuarakan orang ramai apabila melihat kesesakan di lebuh raya dari arah Pantai Timur menghala ke Kuala Lumpur walaupun rentas negeri hanya dibenarkan atas sebab-sebab tertentu sahaja buat masa ini.

Walaupun lebih 90 peratus kenderaan yang terlibat dengan kesesakan itu mempunyai kebenaran polis, namun ini menimbulkan buah mulut orang ramai tentang ketulenan kebenaran rentas negeri tersebut.

Melihat kepada perkembangan semasa, agak sukar kebenaran rentas negeri dapat diberikan kepada semua dalam tempoh terdekat dan sudah pasti memberi kesan kepada emosi serta ekonomi masyarakat.

Dalam mengimbanginya dengan keadaan kesihatan negara, pendigitalan kebenaran rentas negeri perlu disegerakan.

Tidak perlu merumitkan keadaan, cukup aplikasi My Sejahtera ditambahbaik dengan menambah bahagian permohonan rentas negeri.

Beberapa faktor keperluan pendigitalan kebenaran rentas negeri perlu disegerakan oleh pihak berkuasa, Pertamanya ialah mengelak penipuan dan pemalsuan dokumen oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Wujud kes-kes yang dilaporkan memalsukan dokumen tertentu untuk mempengaruhi pihak berkuasa untuk memberi kebenaran rentas negeri.

Melalui permohonan dalam talian, dokumen-dokumen yang disertakan akan diintegrasikan dengan sistem-sistem maklumat yang berkaitan yang dapat mengesahkan keaslian dokumen tersebut sekali gus kebenaran dapat diberikan kepada yang benar-benar memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya ialah dapat mengurangkan kesesakan di balai polis.

Pemohon tidak lagi perlu berasak-asak ke balai dan boleh memohon secara atas talian.

Walaupun belum wujud lagi Kluster Balai Polis disebabkan kesesakan yang berlaku di balai polis sekali gus dapat mengurangkan beban anggota polis bertugas bukan sahaja di balai polis, tetapi juga pos-pos sekatan jalan raya dapat diminimumkan melalui pendigitalan ini.

Di pos sekatan jalan raya, pihak polis tidak lagi perlu menyemak satu persatu, cukup sekadar mengimbas kod kelulusan yang telah dikeluarkan oleh aplikasi.

Risiko

Selain daripada itu, penilaian risiko iaitu status kesihatan pemohon yang ingin rentas negeri dapat dinilai terlebih dahulu melalui saringan awal sebelum proses permohonan dilaksanakan.

Segala rekod dan status risiko pemohon sama ada telah menerima dos vaksinasi atau tidak boleh diintegrasikan melalui sejarah-sejarah pergerakan permohonan dalam aplikasi My Sejahtera.

Ini dapat memberi gambaran kepada pihak berkuasa untuk menilai risiko status seseorang sebelum kebenaran rentas negeri diberikan.

Segala pergerakan rentas negeri tersebut dapat dipantau sesuai dengan tujuan yang diluluskan.

Penggunaan aplikasi ini dapat mengurangkan penggunaan kertas yang berlebihan yang memberi kesan kepada alam sekitar.

Setakat ini, permohonan secara manual memerlukan sekurang-kurangnya dua salinan iaitu satu untuk pihak polis dan satu untuk pemohon.

Sudah pasti lambakan salinan di balai-balai polis ini menyukarkan penyimpanan dan memerlukan ruang yang khusus.

Mungkin kita semua tidak mahu larangan rentas negeri ini berlanjutan untuk tempoh lama.

Namun buat masa ini rakyat tiada pilihan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Walaupun cadangan pendigitalan ini agak lewat diusulkan, tetapi masih belum terlewat untuk pihak berwajib untuk mengambil maklum dan bertindak segera dalam hal ini.

*Dr Muhammad Azwan Sulaiman Ketua Unit Komunikasi Korporat FSPU / Teknologis Profesional Universiti Teknologi MARA Shah Alam