Lebih 1,000 penduduk Kampung Pauh Lima buat saringan Covid-19

Khemah Saringan Covid-19 Surau Al-Ahmadiah di Kampung Pauh Lima, Bachok dipenuhi penduduk yang mahu melakukan ujian saringan Covid-19 pada Selasa.
Khemah Saringan Covid-19 Surau Al-Ahmadiah di Kampung Pauh Lima, Bachok dipenuhi penduduk yang mahu melakukan ujian saringan Covid-19 pada Selasa.
A
A
A

BACHOK - [DIKEMAS KINI] Lebih 1,000 penduduk membanjiri khemah saringan Covid-19 Surau Al-Ahmadiah di Kampung Pauh Lima di sini pada Selasa bagi menjalankan ujian swab susulan pandemik yang menular di kawasan kampung berkenaan sejak 7 Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lokaliti itu membabitkan kampung yang bersempadanan di dua daerah iaitu Bachok dan Kota Bharu yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula jam 12 tengah malam ini.

Menurut beliau, sejumlah 1,032 penduduk perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dari kedua-dua daerah berkenaan.

“Mukim Banggu, Kota Bharu ada 158 rumah dengan 710 penduduk, manakala mukim Banggu, Bachok terdapat 110 rumah dengan 320 penduduk.

“Kesemua mereka tidak boleh keluar dari kawasan ini selepas jam 12 tengah malam ini dan orang ramai dari luar juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan Kampung Pauh Lima sepanjang PKPD berkuat kuasa bermula 19 Mei sehingga 1 Jun ini,” katanya selepas tinjauan ke khemah saringan Covid-19 Surau Al-Ahmadiah, Kampung Pauh Lima di sini pada Selasa.

Shafien Mamat (kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Mohammad Ismail Jamaluddin (tengah) sambil diperhatikan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohammad Ismail Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.

Beliau berkata, kon dan tanda amaran serta pagar kawat berduri akan dipasang di beberapa kawasan operasi PKPD termasuk sekatan di lorong tikus di celah-celah kediaman penduduk.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, polis mengesan tujuh laluan tikus di Kampung Pauh Lima dan akan diletakkan kon atau kawad bertujuan memudahkan anggota tentera dan polis mengawal pergerakan orang ramai dengan lebih sistematik.

“Selain itu, terdapat enam sekatan jalan raya (SJR) di Bachok, manakala empat di Kota Bharu serta kawalan dan pengawasan melalui udara menggunakan dron,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan 78 kes positif direkodkan di Kampung Pauh Lima termasuk dua kematian setakat Isnin dipercayai tercetus daripada penduduk kampung yang mengadakan solat berjemaah serta tadarus di sebuah surau.

Peta lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima Bachok dan Kota Bharu berkuat kuasa bermula 19 Mei sehingga 1 Jun ini.
Peta lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima Bachok dan Kota Bharu berkuat kuasa bermula 19 Mei sehingga 1 Jun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 menular di Kampung Pauh Lima, 78 penduduk dijangkiti