Covid-19: Pasar Tani Ampangan diarah tutup

FAMA sentiasa pastikan SOP dipatuhi di pasar tani termasuk memeriksa suhu badan dan mengimbas kod QR MySejahtera. - Gambar hiasan
FAMA sentiasa pastikan SOP dipatuhi di pasar tani termasuk memeriksa suhu badan dan mengimbas kod QR MySejahtera. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Pasar Tani Ampangan di sini yang beroperasi hari ini diarah tutup sementara bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan, Asmizal Jaafar berkata, arahan penutupan itu atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas terdapat kes positif Covid-19.

"Pengoperasian semula pasar tani ini yang dijadualkan pada 25 Mei depan akan dimaklumkan dari masa ke masa tertakluk kepada arahan KKM dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Terdapat 20 buah pasar tani di seluruh Negeri Sembilan dan ini pertama kali ada pasar tani yang diarahkan tutup sejak kita buka secara berperingkat Jun tahun lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, FAMA sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh semua peniaga dan turut mendapat kerjasama daripada PBT, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi melakukan pemantauan.

Katanya, bagi tujuan keselamatan, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas turut tidak dibenarkan masuk ke kawasan pasar tani.

"Malah peniaga juga digalakkan beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan transaksi secara sentuhan tangan.

"Kita dapati dah ada peniaga yang menyediakan kemudahan pembayaran cashless (pembayaran tanpa tunai) dan kalau boleh kita mahu lebih ramai berbuat demikian," katanya.

Artikel Berkaitan: