Konflik Palestin-Israel: Bantahan aman di Kedutaan Amerika Syarikat

Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia bersama barisan NGO lain hanya diberi ruang menyatakan bantahan secara aman dalam tempoh singkat berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di ibu negara pada Isnin.
Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia bersama barisan NGO lain hanya diberi ruang menyatakan bantahan secara aman dalam tempoh singkat berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di ibu negara pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Usaha Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain menyerahkan memorandum bantahan berhubung serangan Israel di Gaza pada Isnin gagal apabila tindakan mereka dihalang oleh polis.

Ketika hujan lebat itu mereka berusaha menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan Besar Amerika Syarikat di ibu negara.

Kumpulan berkenaan tidak dibenarkan menghampiri kedutaan Amerika Syarikat untuk tujuan itu.

Bagaimanapun polis dilihat memberi ruang kepada mereka berada di sebelah kawasan kedutaan untuk tempoh masa singkat bagi menyatakan bantahan secara aman.

Kumpulan yang diwakili Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi berada di kawasan berkenaan kira-kira 20 minit bagi menyatakan bantahan terhadap serangan yang berlaku di Palestin.

Bendera Israel turut dibakar sebagai tanda mereka mengutuk sekeras-kerasnya serangan dilancarkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menyasarkan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza, yang masih berlanjutan sejak seminggu lalu.

“Israel perlu menghentikan segera kemusnahan kediaman rakyat Palestin di Sheikh Jarrah dan menghentikan pencerobohan di bumi Palestin.

“Kekerasan berterusan dilakukan Israel kepada rakyat Palestin tidak boleh diterima dan mereka perlu bertanggungjawab atas serangan yang dilakukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Yusuf berkata, berikutan kegagalan penyerahan memorandum itu, pihaknya akan melakukan usaha susulan bagi mendesak Amerika selaku rakan sekutu Israel menghalang serangan yang sedang berlaku.

“Kami cuba membuat serahan susulan dalam masa terdekat termasuk berjumpa dengan pihak Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) untuk mendesak Amerika Syarikat supaya tidak menggunakan kuasa besarnya menghalang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang seterusnya mengeluarkan resolusi menamatkan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap palestin,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) Masridzi Sat turut menggesa kerajaan menggerakkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk membantu Palestin.

“Pada masa sama kita mahu gerakan NGO terus bangkit menyuarakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan Israel sejak sekian lama ini,” katanya.

Sejak seminggu lalu, Israel terus menyasarkan Gaza dengan bedilan sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan kediaman yang turut mengorbankan ratusan nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Pada Sabtu, menurut laporan agensi antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 10,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Gaza.

Tindakan itu diambil berikutan ketegangan di tengah-tengah serangan oleh tentera Israel.