PKP: Polis Marang nafi kuat kuasa had masa keluar rumah

Mohd Zain Mat Dris. Gambar kanan: Maklumat palsu yang ditularkan sejak Ahad.
Mohd Zain Mat Dris. Gambar kanan: Maklumat palsu yang ditularkan sejak Ahad.
A
A
A

MARANG - Polis Marang menafikan maklumat tular bahawa mereka menguatkuasakan had masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan kerajaan dengan mengenakan kompaun terhadap individu atau kumpulan yang berada di luar premis melebihi jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihak polis tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara tersebut sebagaimana ditularkan sejak Ahad lalu.

Beliau berkata, sebarang tindakan menyebarkan sesuatu maklumat secara palsu sehingga mendatangkan keresahan dalam kalangan masyarakat boleh dikenakan tindakan.

"Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan niat membuat penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun," katanya.

Pada Ahad, tular maklumat palsu mengatakan PDRM Marang akan melaksanakan pematuhan PKP dan menguatkuasakan had masa PKP bermula malam Ahad.

Info tersebut turut mengatakan mana-mana individu atau kumpulan yang didapati berada di luar rumah atau premis kediaman melebihi jam 10 malam tanpa alasan munasabah akan dikenakan tindakan dan kompaun mengikut Akta 134.

Berdasarkan maklumat tersebut, nilai kompaun yang akan dikenakan ialah sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kesalahan.

Artikel Berkaitan: