Kerjasama UMNO-Pas, ini kata Tok Mat

Mohamad berkongsi gambar bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mohamad berkongsi gambar bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak beberapa siri PRK di Selangor dan Pahang, hubungan UMNO-Pas semakin erat namun ia masih bukan sebuah ikatan yang formal.

Lebih selesa dengan ungkapan kerjasama, kedua parti ini sekali lagi bergandingan di PRK Semenyih meskipun Pas sedikit terpalit kontroversi berkait sokongan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerjasama kedua parti gergasi itu sebenarnya menjangkaui pilihan raya kecil yang sedang berlangsung.

“Tunjang utama kerjasama ini adalah daripada keikhlasan nurani, kesatuan niat dan amal semua pihak demi menjaga serta memakmurkan kepentingan bersama Melayu-Muslim yang dilihat kian tidak menentu dalam pemerintahan PH.

“Maknanya kerjasama UMNO-Pas menjangkaui PRK Semenyih maka banyak perkara yang masih boleh diperbaiki, diteruskan dan diolah demi kepentingan kedua-dua parti dalam menawarkan alternatif kepada Kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pilihan raya kali ini bukan semata-mata berkisar tentang UMNO-Pas sebaliknya pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa yang berkongsi matlamat serta perjuangan demi memenangkan DUN Semenyih.

Dalam pada itu katanya, UMNO dan Pas masih memerlukan masa untuk saling menyesuaikan diri serta mencari lebih banyak titik persamaan dan mengurangkan perbezaan demi kepentingan umum.

Selain itu katanya, kerjasama antara kedua parti menumpukan kepada orang Melayu yang berdepan risiko diketepikan daripada arus pembangunan dan wacana politik negara.

Artikel Berkaitan:

“Identiti, agama dan cara hidup mereka semakin digugat secara zahir mahupun tersembunyi agar ideologi ‘Malaysian Malaysia, No Race, No Religion’ direalisasikan.

“Ideologi ini adalah manifestasi jelas kepada ketidakhirauan Kerajaan PH serta ahli-ahli politik DAP terhadap budaya dan nilai hidup orang Melayu Muslim,” katanya.

Tambahnya, sehingga ini tiada satu pun pelan konkrit menyentuh peningkatan tahap pendidikan, ekonomi dan sosio-budaya orang Melayu yang diumumkan atau diusahakan dengan serius oleh kerajaan PH.