PKPD di dua lokaliti di Saratok

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di dua lokaliti di Saratok yang terletak dalam Bahagian Betong.

JPBN menerusi satu kenyataan memaklumkan dua kawasan terlibat ialah Rh. Entingi Nanga Ingu Kabo Krian dan Rh. Engkabi Tingkat Seblak, Roban bermula Ahad hingga 29 Mei, susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di kawasan terbabit.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan satu kluster baharu melibatkan Kluster Kampung Boyan di Kuching.

JPBN turut memaklumkan Kluster Kampung Boyan merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan tiga keluarga di kampung berkenaan dengan sejumlah 69 individu disaring dengan 19 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks manakala 50 kes didapati negatif.

“Kesemua kes positif Covid-19 ini dirujuk ke Hospital Umum Sarawak dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Daerah Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Sarawak mencatatkan 405 kes baharu Covid-19 pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 38,383 kes selain lima kes kematian baharu direkodkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: