Bekas Pengerusi Srikandi Muda Johor tolak jawatan baharu

NUR NAJIHAH
NUR NAJIHAH
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor, Nur Najihah Abdul Halim menolak jawatan baharunya dalam Biro Kesenian dan Kebudayaan Negeri Johor susulan penstrukturan semula Srikandi Muda Negeri Johor pada Sabtu.

Beliau menolak jawatan baharu itu yang sepatutnya berkuatkuasa pada Sabtu kerana berpendapat kepimpinan tertinggi Srikandi Muda Negeri Johor tidak lagi percaya kepadanya untuk meneruskan jawatan Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor.

"Keputusan menolak jawatan baharu itu dibuat selepas selesai mesyuarat bersama-sama Ketua Srikandi Negeri Johor serta barisan kepimpinan tertinggi Srikandi Muda Negeri Johor pada 9.30 malam tadi (Sabtu).

"Saya amat menghargai peluang dan jawatan yang diberikan di peringkat negeri namun saya merendah diri menolak jawatan tersebut.

"Mungkin kepimpinan tertinggi tidak mahu lagi saya terus menjadi Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor disebabkan beberapa isu termasuk program anjuran Badan Perhubungan Negeri (BPN) baru-baru ini selain faktor 'overshadow'," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, penolakan jawatan baharu itu juga dilakukan kerana tidak dapat memberi komitmen pada masa akan datang kerana akan melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dan memulakan kerjaya.

Nur Najihah mengucapkan terima kasih kepada Ketua Srikandi Negeri Johor, Datuk Azlinda Abdul Latif kerana sebelum ini memberi kepercayaan melantiknya sebagai Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor pada 26 November 2020.

"Banyak yang saya pelajari sepanjang menjadi 'ketua'. Tanpa nasihat serta teguran dari beliau, tidak mungkin saya dapat berada di sini.

Artikel Berkaitan:

"Dukacita dimaklumkan bahawa saya tidak dapat lagi meneruskan tanggungjawab sebagai Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor dan Bahagian Johor Bahru bermula hari ini (Ahad)," katanya.

Beliau berharap pihak dalam parti dapat meneruskan perjuangan dengan berintegriti, amanah dan jujur tanpa ada rasa iri hati.

Tambahnya, menjadi seorang ketua bukan hanya memimpin, meminta orang bawahan mengikut segala arahan atau menjadi 'yes man' sebaliknya kadang-kadang perlu mendengar pendapat dan belajar menerima kritikan.

Nur Najihah mengakui masih sayang dan tidak akan sekali-kali meninggalkan parti sebaliknya akan terus berjuang bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).