Pantau laman sosial sekat rentas daerah

Barudin turun memeriksa kenderaan yang melalui Jalan Gelung Pepuyu- Beruas. Foto: Ihsan PDRM
Barudin turun memeriksa kenderaan yang melalui Jalan Gelung Pepuyu- Beruas. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

PARIT - [DIKEMAS KINI] Polis akan pantau hantaran di kumpulan laman sosial bagi mengesan 'laluan tikus' di sempadan daerah Perak Tengah itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya menambah satu lagi sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 3, Jalan Gelung Pepuyu - Beruas berikutan laluan alternatif itu 'bocor' di laman sosial.

Menurutnya, lokasi itu merupakan jalan yang menghubungkan daerah Perak Tengah dengan Manjung dan Taiping.

"Selepas ia tular, pasukan buat pemeriksaan mengejut dan hasilnya lima kompaun dikeluarkan bagi kesalahan rentas daerah tanpa kebenaran.

"Mereka yang berusia 27 hingga 53 tahun yang tinggal di daerah luar memberi pelbagai alasan antaranya menghantar laksa ke rumah datuk dan melawat ibu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, sebanyak 74 kenderaan diperiksa dan 23 kenderaan diarah berpatah balik.

Barudin (dua dari kanan) memeriksa kenderaan yang melalui Jalan Gelung Pepuyu- Beruas. Foto: Ihsan PDRM
Barudin (dua dari kanan) memeriksa kenderaan yang melalui Jalan Gelung Pepuyu- Beruas. Foto: Ihsan PDRM

"Mereka dikenakan kompaun RM5,000 atas kesalahan rentas daerah di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Artikel Berkaitan:

"Dua SJR lain telah ditempatkan di Jalan Bota - Teluk Intan di Kampung Gajah dan Jalan Ipoh - Lumut berhampiran Universiti Teknologi Petronas," katanya.

Barudin berkata, seramai 121 pegawai dan anggota ditugaskan setiap hari dalam penugasan di SJR, 'task force' dan pasukan rondaan pemantauan sambil dibantu anggota Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

"Pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan 'snapcheck' serta rondaaan bagi tujuan cegah jenayah dibuat seperti biasa di kawasan laluan yang berpotensi menjadi laluan alternatif walaupun agak jauh.

"Orang awam dinasihatkan jangan takut kepada pihak polis mahupun kompaun tetapi takutlah musuh yang tidak kelihatan," katanya.