X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Ayam belanda terima permintaan tinggi

Nurul Fairuz antara usahawan wanita berjaya dalam ternakan ayam belanda.
A
A

PONTIAN - Ayam piru atau ayam belanda cukup digemari masyarakat Barat dan menjadi hidangan tradisi sempena perayaan utama mereka.

Keenakan ayam belanda yang mempunyai isi lebih pejal dan kandungan kolesterol lebih rendah kini turut menjadi hidangan istimewa bagi masyarakat Melayu terutama ketika Syawal.

Tidak sukar untuk mendapatkan ayam belanda kerana ramai usahawan tempatan kini mula menternak ayam itu dalam skala besar.

Antaranya, Nurul Fairuz Amir, 39 usahawan ayam belanda di Kampung Parit Haji Zain Darat yang berkecimpung dalam bidang ternakan itu sejak enam tahun lalu.

Nurul Fairuz tidak menyangka percubaannya melakukan pembaharuan dalam ternakan ayam kampung yang dimulakan oleh ayahnya Amir Misran, 62, membuahkan hasil cukup lumayan.

"Harga ayam belanda mencecah sekitar RM30 hingga RM35 sekilogram dengan tempoh matang sekitar enam dan tujuh bulan sebelum dapat disembelih.

Bercerita mengenai pembabitannya, Nurul Fairuz berkata, lawatannya ke Australia sebelum ini memberi idea mengenai ternakan ayam belanda.

Nurul Fairuz menunjukkan telur asin dan produk kraf yang dihasilkan dari ayam belanda.
Nurul Fairuz menunjukkan telur asin dan produk kraf yang dihasilkan dari ayam belanda.

Bekas pengurus bahagian latihan di sebuah syarikat swasta ini berkata, dia pulang ke kampung pada tahun 2014 bagi meneruskan ternakan ayam kampung yang diusahakan ayahnya.

"Pada tahun berikutnya, saya mula menternak 100 ekor ayam belanda. Permintaan yang tinggi mendorong saya menambah ternakan.

"Bilangan ayam belanda kini mencecah 250 ekor dengan pasaran terbesar di Johor Bahru," katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Fairuz berkata, produk hiliran daripada bulu ayam belanda berasaskan kraf turut diperkenalkan di samping telurnya yang dijadikan telur asin.

"Saya yakin dengan peluang cerah yang dimiliki dalam bidang ternakan ayam belanda. Wanita juga boleh berjaya dalam ternakan ayam belanda.

"Paling penting kesungguhan dan jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru selain berkat doa ibu bapa dan keluarga," katanya.

Sementara itu katanya, menu rendang ayam belanda menjadi pilihan utama ketika Syawal.

Selain itu, ada juga yang memasak ayam belanda dijadikan ungkep yang merupakan hidangan tradisi masyarakat Jawa terutama di Pontian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!