Peniaga maut tercampak keluar dari kereta

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Muar-Segamat, dekat sini pada Sabtu.
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Muar-Segamat, dekat sini pada Sabtu.
A
A
A

TANGKAK - Seorang peniaga maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandunya dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Muar-Segamat, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd Fadhil Minhat berkata, kemalangan pada jam 5.21 pagi itu dipercayai berlaku ketika Tan Zi Ang, 30, memandu kereta jenis Honda Civic terbabas dan hilang kawalan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa memandu dari Kebun Baru dan mahu pulang ke Tangkak.

"Ketika sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri sebelum terpelanting kira-kira 50 meter dari jalan utama dan masuk ke kawasan kebun sawit.

"Mangsa yang beralamat di Kebun Baru, Jementah, Segamat cedera parah di bahagian kepala dan badan serta dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mohd Fadhil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut Ketua Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Izwan Mohamad, mangsa tersepit dalam kenderaan dan anggota bomba mengeluarkan pemandu itu dengan menggunakan peralatan khas.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan dan operasi tamat pada jam 5.59 pagi," katanya dalam satu kenyataan.