Penunggang motosikal maut nahas dengan dua kereta

Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan dua kereta di Jalan Parit Botak, Kampung Parit Nipah pada Jumaat. - Foto IPD Batu Pahat
Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan dua kereta di Jalan Parit Botak, Kampung Parit Nipah pada Jumaat. - Foto IPD Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Parit Botak, Kampung Parit Nipah di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, remaja berusia 16 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

"Kita menerima maklumat mengenai kemalangan itu sekitar 10.20 pagi daripada orang awam.

"Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi apabila remaja lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dari arah Jalan Kluang menghala ke arah Kampung Parit Raja Darat melalui Jalan Parit Botak.

"Apabila sampai di tempat kejadian remaja tersebut telah melanggar bahagian sisi kiri belakang kereta jenis Perodua Ativa yang datang dari arah bertentangan yang sedang memasuki simpang Kampung Parit Nipah Darat.

"Akibat perlanggaran tersebut motosikal yang dinaiki remaja itu hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung pula dengan kereta jenis Perodua Myvi," katanya pada Jumaat.

Ismail berkata, remaja terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kedua-dua pemandu kereta masing-masing berusia 43 dan 46 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.

Beliau berkata, rakaman 'dashcam' kejadian kemalangan tersebut juga telah diperoleh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Asma'i Md Yusoff.