Bekas anggota polis ditahan miliki peluru

AA Anbalagan
AA Anbalagan
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang bekas anggota polis ditahan selepas didapati menyimpan 10 butir peluru bersama gari tanpa kebenaran di dalam beg pakaiannya, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Delima, Sungai Petani Kedah pada jam 2 pagi, 17 Februari lalu.

Menurutnya, kejadian itu disedari pengurus operasi sebuah syarikat pengawal keselamatan yang merupakan majikan kepada lelaki terbabit.

"Pada 16 Februari lalu, kira-kira jam 11 pagi, pengurus operasi syarikat berusia 46 tahun itu telah ke asrama pekerjanya di sebuah pangsapuri di sini untuk mencari lelaki tersebut. Dia mendapati pekerjanya itu tiada di asrama terbabit.

"Bagaimanapun, pemeriksaan di bilik lelaki tersebut telah menjumpai 10 butir peluru bersama gari yang diletakkan dalam plastik dan dimasukkan ke dalam sebuah beg milik lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, susulan daripada itu, sepasukan polis telah menahan lelaki itu di rumahnya untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut mendapati, lelaki itu tidak mempunyai rekod lampau dan telah berkhidmat sebagai anggota polis sejak 2004. Dia bagaimanapun telah menamatkan perkhidmatannya di Bukit Aman pada 2016," katanya.

Anbalagan berkata, lelaki itu mendakwa, peluru tersebut diambil tanpa pengetahuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika dia berkhidmat di Cawangan Latihan Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya pada 2014.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki itu mendakwa, dia berhasrat untuk memulangkan peluru tersebut kepada PDRM namun terlupa untuk berbuat demikian. Sehubungan dengan itu, lelaki yang merupakan duda anak tiga itu direman dan akan dituduh di Mahkamah Balik Pulau esok.

"Kes ini boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada mana-mana agensi penguatkuasaan agar tidak menyimpan peluru selepas tamat perkhidmatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.