Semangat Liverpool kembali membara

Salah (kanan) ketika meledak gol keempat The Reds ketika menentang Manchester United di Old Trafford.
Salah (kanan) ketika meledak gol keempat The Reds ketika menentang Manchester United di Old Trafford.
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui kemenangan 4-2 ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford sebagai tonik terbaik dalam menghidupkan peluang beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim depan.

Malah menurut Klopp yang juga bekas pengendali kelab Bundesliga, Borussia Dortmund, tiga mata diperolehi ke atas anak buah Ole Gunnar Solskjaer tersebut mengurangkan sementara tekanan dihadapi The Reds dalam misi pemburuan slot elit liga tersebut.

“Keputusan di Old Trafford ini sesuatu yang sememangnya amat penting buat Liverpool selepas kita berada keadaan sedikit tekanan dalam pemburuan slot Liga Juara-Juara musim depan.

“Pemain-pemain Liverpool tampil ke Old Trafford dengan misi untuk menang kerana percaya peluang untuk berada dalam kedudukan empat terbaik saingan Eropah masih belum berakhir.

“Pemain-pemain telah membuktikannya apabila berjaya menyerap tekanan pemain lawan. Itulah yang kami lakukan malam ini. Ia penting kerana tanpa kemenangan ini kami tidak boleh bercakap mengenainya,” kata Klopp.

Pada aksi tersebut gol anak buah Jurgen Klopp dijaringkan Diogo Jota pada minit ke-34 diikuti dua jaringan Roberto Firmino sebelum Mohamed Salah melengkapkan kemenangan The Reds.

Gol skuad tuan rumah kendalian Solskjaer pula dijaringkan Bruno Fernandes pada minit ke-10 dan Marcus Rashford (68').

Mengulas insiden Sadio Mané enggan berjabat tangan dengannya selepas perlawanan, Klopp menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam mengendalikan pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Tidak perlu bimbang atau risau kerana tiada sebarang masalah dalam insiden melibatkan Mane ini.

“Sebelum ini saya buat keputusan lewat semasa sesi latihan untuk menurunkan Diogo Jota dalam kesebelasan utama. Sepatutnya saya memberitahu pemain, namun masa tidak mengizinkan pada ketika itu,” katanya.

Kemenangan di laman keramat United itu membolehkan The Reds menghuni tangga kelima setelah mengumpul 60 mata selepas mengharungi 35 perlawanan manakala The Red Devils kekal kedudukan kedua dengan 70 mata lebih satu perlawanan.