X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 22 Oktober 2021

Video polis kompaun langgar SOP raya tidak benar

Tular makluman mengenai pemilik rumah dan tetamu di sebuah taman perumahan dikenakan kompaun pada Hari Raya Aidilfitri pertama. Gambar kecil: Mohamad Noor
A
A

KUANTAN - Polis Kuantan menafikan pihaknya mengeluarkan kompaun RM25,000 kepada tuan rumah dan RM5,000 membabitkan tetamu di sebuah taman perumahan di daerah ini kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ziarah raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kehadiran anggota polis di taman perumahan pada hari raya pertama itu hanya untuk melakukan pemantauan SOP selain bertanyakan mengenai beberapa motosikal di satu lokasi.

"Berita mengenai kompaun yang tular itu tidak benar. Video dan gambar mengenai kehadiran anggota polis itu untuk mendapat maklumat mengenai beberapa buah motosikal di satu lorong di taman perumahan berkenaan.

"Apabila siasatan dilakukan mendapati bukan aktiviti beraya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada malam Khamis, beberapa video pendek berdurasi tujuh saat tular di dalam aplikasi WhatsApp mengenai kehadiran beberapa polis di sebuah taman perumahan di daerah ini.

Tangkap layar video yang tular dikatakan polis mengenakan kompaun kepada penduduk.
Tangkap layar video yang tular dikatakan polis mengenakan kompaun kepada penduduk.

Kelibat anggota polis dilihat menjalankan pemeriksaan terhadap kereta dan motosikal yang terdapat di taman perumahan itu.

Penularan video itu menyebabkan warga netizen mendakwa kompaun RM25,000 telah dikeluarkan pihak polis kepada pemilik kediaman tersebut dan kompaun RM5,000 pula dikenakan terhadap tetamu.

Menjawab mengenai tindakan kompaun melanggar SOP ketika Aidilfitri, beliau menjelaskan setakat ini tiada kompaun dikeluarkan pihaknya.

Bagaimanapun jelasnya, pemantauan pematuhan SOP PKP akan dilaksanakan dari masa ke masa di seluruh kawasan termasuk taman perumahan.

"Orang ramai dilihat patuh dan beri kerjasama dan kita turut menasihatkan mereka supaya sentiasa mematuhi SOP. Jika tidak perlu untuk bergerak maka jangan bergerak," katanya.

Tangkap layar video yang tular dikatakan polis mengenakan kompaun kepada penduduk.
Tangkap layar video yang tular dikatakan polis mengenakan kompaun kepada penduduk.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!