Taman Ilmu: Enam syarikat saman Terengganu

Satiful Bahri Mamat
Satiful Bahri Mamat
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Enam kontraktor projek Taman Ilmu di Tembila, Besut yang diselubungi kontroversi ekoran lama terbengkalai akan menyaman kerajaan TERENGGANU.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebelum ini kerajaan negeri turut disaman sebuah syarikat berhubung perkara sama.

Bagaimanapun menurutnya, saman itu berjaya diselesaikan di luar mahkamah apabila kerajaan negeri bersetuju membayar RM45 juta kepada syarikat berkenaan yang dilaporkan turut mewakili beberapa pemaju lain.

“Kita ingatkan sudah selesai (isu saman) tapi kita dapat maklumat enam syarikat lagi akan menyaman kerajaan negeri. Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana ia melibatkan mahkamah,” katanya dalam Sidang Dun hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ridzuan Hashim (Pas-Buluh Gading) yang ingin mengetahui perkembangan terkini usaha dan langkah kerajaan dalam menangani pembangunan Taman Ilmu.

Satiful Bahri berkata, kos membaiki pulih keseluruhan Taman Ilmu dianggarkan bernilai antara RM350 juta hingga RM400 juta dan kerajaan negeri memberi komitmen tidak akan membiarkan Taman Ilmu menjadi projek gajah putih malah kajian pembangunan semula taman itu bakal dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

Dua blok bangunan asrama Taman Ilmu kini digunakan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dikecualikan sewa selama 10 tahun dengan kos baik pulih blok asrama itu ditanggung sepenuhnya oleh UniSZA.

Ketika ditemui media di luar dewan, Satiful Bahri berkata, beliau kini sedang meneliti tiga permohonan iaitu satu dari negara Arab dan dua syarikat dalam negara yang berminat untuk mengambil alih projek Taman Ilmu.

Artikel Berkaitan:

“Kita sedang teliti cadangan untuk penyelesaian jangka panjang agar projek ini tidak jadi gajah putih. Mereka akan ambil alih untuk baik pulih dengan syarat-syarat tertentu, kerajaan sedang menilai lagi,” katanya.