X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Kerajaan gagal tangani isu Covid-19, kata Mohd Shafie

Mohd Shafie
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal dalam menangani isu Covid-19 susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan bermula pada Rabu.

Beliau berkata, banyak kegagalan yang dilihat pada kerajaan kini terutama dalam kordinasi dan tiada perancangan yang komprehensif bagi menangani isu berkenaan.

"Memang banyak kegagalan dari segi menangani masalah ini, pertamanya dari segi kordinasinya sama ada antara pemain industri dengan kerajaan, pemimpin, kenyataan bercanggah datang dari menteri itu, menteri ini. Jadi itu menampakkan kepada kita kordinasi dari segi gerak kerja.

"Kedua, contohnya baru-baru ini beribu kenderaan yang tidak boleh masuk ke Kelantan, maksudnya tiada perancangan yang komprehensif sedangkan kita tahu hari raya tiba, kita tahu seminggu sebelum itu rakyat tetap akan balik kampung, patut maklumkan awal jangan (PKP) susahkan rakyat," katanya pada sidang akhbar melalui aplikasi Zoom, pada Selasa.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut berkata, kerajaan sepatutnya mengambil maklum keadaan semasa dan bersiap siaga lebih awal.

"Kalau makluman diberitahu kepada masyarakat dan industri lebih awal, keadaan tidak kelam kabut dan rakyat tidak diarahkan berpatah balik disebabkan pengumuman pada saat akhir," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna turut menggesa kerajaan untuk membenarkan pemain industri membeli vaksin sendiri bagi mempercepatkan proses vaksinasi dan mengelak daripada ekonomi terjejas.

"Masuk kilang bagi vaksin kepada semua pekerja, jadi kilang boleh berfungsi 24 jam... minta mereka beli (vaksin), kalau kerajaan tak nak bagi, minta mereka beli sendiri.

"Saya yakin kilang-kilang mampu beli daripada tutup operasi, mereka mampu beli vaksin untuk pekerja," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!