X

Kindly register in order to view this article
!

'Ejen bomoh' perdaya peniaga wanita RM18,350

PDRM
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga wanita mengalami kerugian RM18,350 selepas terperdaya dengan seorang wanita yang kononnya ejen kepada bomoh berkebolehan membantunya mengutip hutang bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 25 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek dikatakan berasal dari Sarawak pada 16 April lepas di kedai kosmetiknya, di sini.

"Mangsa mendakwa hubungan mereka semakin rapat apabila sering bertemu sehingga dia menceritakan masalah hutang yang dihadapinya dengan seorang lelaki yang tidak menjelaskan bayaran selepas mengambil barang.

"Suspek dikatakan memberitahu mangsa bahawa dia mengenali seorang bomoh dan mengajaknya untuk berubat bagi melembutkan hati pemiutang itu supaya segera memulangkan wang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek mengarahkan mangsa membayar RM1,500 secara tunai pada 15 April lepas, sebagai upah kepada bomoh itu disusuli dengan pelbagai bayaran lain termasuk menyerahkan seutas gelang tangan emas sehingga jumlah besar RM18,350.

Mangsa mendakwa dia menyerahkan gelang emas dan wang kepada suspek atas dasar percaya memandangkan suspek semakin kerap datang ke kedainya, selain dijanjikan bahawa barang kemas dan sebahagian daripada wang itu akan dipulangkan selepas tamat 'proses perubatan'," katanya.

"Mangsa mendakwa dia mula berasa curiga apabila orang yang berhutang dengannya masih tidak menjelaskan bayaran selepas hampir sebulan berubat, menyebabkan dia mula meminta suspek memulangkan semua gelang dan wang miliknya.

"Bagaimanapun suspek dikatakan bukan setakat enggan berbuat demikian, malah mengugut mangsa untuk menghantar santau dan memberitahu telah meletakkan bungkusan kain berwarna kuning dan merah dalam kedai mangsa.

"Mangsa yang bimbang dengan ugutan itu, telah mencari bungkusan kain itu dan apabila dibuka, mendapati ia hanya berisi cebisan kotak," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Selasa, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!