Tudung Souk Hantu diciplak

Che Nurul Hafizah (dua dari kanan) bersama barisan peguam termasuk Md Azezi Husain @ Abdullah (kiri) menunjukkan perbezaan tudung palsu dengan tudung tulen.
Che Nurul Hafizah (dua dari kanan) bersama barisan peguam termasuk Md Azezi Husain @ Abdullah (kiri) menunjukkan perbezaan tudung palsu dengan tudung tulen.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pengasas tudung dari Tumpat bertindak tegas melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung kes kecurian harta intelek membabitkan ribuan tudung dan anak tudung berjemana Souk Hantu By Che Fiza (BCF) yang diciplak sejak tiga tahun lalu.

Usahawan wanita tersebut, Che Nurul Hafizah Che Zulkifli, 28, berkata, pihaknya menerima aduan daripada pelanggan yang terpedaya dan tertipu apabila terbeli tudung yang disangkakan keluaran Syarikat By Che Fiza Sdn Bhd.

Menurutnya, selepas merujuk peguam dan KPDNHEP pihaknya mengesan tudung Souk Hantu palsu dijual secara berleluasa di pelbagai premis perniagaan runcit dan borong di seluruh negara terutama Kuala Lumpur serta Kelantan.

“Tudung dan anak tudung tiruan ini dijual dengan harga yang sangat murah termasuk dipasarkan secara meluas secara dalam talian.

“Pelanggan tertipu kerana hanya melihat gambar dan tidak dapat membezakan tudung tersebut yang sebenarnya palsu menggunakan Cap Dagangan iaitu hantu kecil milik syarikat By Che Fiza,” katanya pada sidang akhbar di butik BCF di Lembah Sireh di sini pada Selasa.

Hadir sama, barisan peguam diketuai Md Azezi Husain @ Abdullah.

Che Nurul Hafizah berkata, syarikat tersebut memiliki Cap Dagangan bermula 1 Jun 2018 daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) terhadap tiga jenis logo hantu kecil yang turut ditiru oleh penciplak menyebabkan perniagaan syarikat terjejas.

“Bezanya pada material logo dan logo yang ditampal gam saja berbanding logo asal yang menggunakan mesin khas.

Artikel Berkaitan:

“Jenis kain yang digunakan oleh penciplak juga berbeza iaitu moss crepe yang dipercayai dari Vietnam berbanding cottan viscose yang digunakan pada keluaran tudung Souk Hantu tulen,” katanya.

Che Nurul Hafizah menunjukkan logo Cap Dagangan Syarikat By Che Fiza yang diciplak.
Che Nurul Hafizah menunjukkan logo Cap Dagangan Syarikat By Che Fiza yang diciplak.

Beliau berkata, pihak penciplak turut menggunakan gambar pengiklanan yang asal dan menjual tudung dan anak tudung palsu sekitar RM5 sehingga RM10.

“Tudung Souk Hantu dan anak tudung Souk Berhantu yang tulen daripada By Che Fiza bermula dari harga RM10 sehingga RM59,” katanya.

Sementara itu, Md Azezi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada KPDNHEP yang bertindak membuat serbuan ke premis-premis perniagaan borong dan runcit yang dipercayai menjual tudung tiruan Souk Hantu di Kuala Lumpur.

“Tindakan menciplak Cap Dagangan adalah kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

“Mengikut Seksyen 99 akta itu, pesalah yang menjual produk tiruan boleh didenda sehingga RM1 juta dan penjara sehingga lima tahun atau dua-dua sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.