Indeks Gaji Kebangsaan dilancar

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran semasa sidang media selepas melancarkan Indeks Gaji Kebangsaan (National Wage Index - NWI) di Kementerian Sumber Manusia hari ini. Foto: Bernama
Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran semasa sidang media selepas melancarkan Indeks Gaji Kebangsaan (National Wage Index - NWI) di Kementerian Sumber Manusia hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) yang dilancarkan hari ini akan menjadi garis panduan mengukur perubahan upah dan gaji pekerja di pasaran buruh Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia M.Kulasegaran.

Menurutnya, Indeks itu, yang pertama di negara ini, merupakan satu daripada 11 inisiatif konsolidasi pasaran buruh di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (11MP) dalam bidang-bidang prioriti meningkatkan produktiviti, mendorong pewujudan kerja dan menaikkan struktur gaji.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan NWI, Kulasegaran berkata majikan boleh menggunakannya sebagai panduan dalam menetapkan tahap gaji untuk pelarasan dan sebagai input kepada dasar sumber manusia mereka.

“Pekerja dan pencari kerja boleh menilai perubahan gaji mereka dengan trend pasaran buruh yang lebih luas dan dalam laluan kerjaya mereka,” kata beliau.

Sebagai pembuat dasar, kata Kulasegaran, kerajaan boleh menggunakan NWI untuk memantau pelarasan gaji, sebagai input bagi menetapkan gaji dan menyemak gaji minimum untuk pertimbangan dasar.

NWI telah dibangunkan oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) berdasarkan tinjauan suku tahunan mengenai maklumat dan pelarasan daftar gaji antara Sept 2016 hingga Jun 2018.

Beliau berkata antara keputusan utama tinjauan itu menunjukkan gaji asas naik 8.2 peratus sepanjang lapan suku tahun.

Katanya, kementeriannya akan menerbitkan NWI setiap suku tahun dan terbitan akan datang ialah pada suku kedua 2019.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh hal lain, Kulasegaran juga berkata kerajaan akan memberi fokus kepada meningkatkan penyertaan wanita, pesara berusia lebih 60 tahun dan orang kurang upaya sebagai pekerja prospektif dalam kumpulan buruh.

"Kita tidak harus membiarkan bakat dan pengalaman pekerja lebih tua dibazirkan oleh kerana mereka boleh menyumbang banyak kepada pertumbuhan ekonomi,” kata beliau, dan menambah kerajaan akan mengkaji model Singapura yang membenarkan pesara bekerja semula.- Bernama