Kurung diri dua minggu bantu putuskan rantaian Covid -19

LEE LAM THYE
LEE LAM THYE
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia disarankan untuk melaksanakan pengurungan diri secara sukarela bagi tempoh dua minggu sebagai usaha memulihkan semula negara daripada wabak Covid-19.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dalam tempoh pengurungan itu, rakyat juga dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti sosial dan keagamaan bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin serius.

"Minggu ini kita dikejutkan dengan jumlah kes yang telah mencecah angka melebihi 4,500 dengan jumlah kematian sehari melebihi 20 kes.

"Lebih membimbangkan, kita mungkin akan menghadapi situasi seburuk yang berlaku di negara India di mana fasiliti kesihatan telah lumpuh sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Lam Thye berkata, tindakan kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021 merupakan satu langkah bagi membendung penularan Covid-19 dan mencegah keadaan daripada menjadi lebih buruk.

Katanya, pihak berkuasa telah menjalankan apa yang wajar dilakukan buat masa ini.

"Tiba masa untuk kita juga menunjukkan semangat cintakan negara dengan berjuang memerangi Covid-19.

"Dalam menghadapi krisis kesihatan sekarang, rakyatlah harapan negara untuk melandaikan keluk kes Covid-19 yang semakin menaik.

Artikel Berkaitan:

"Krisis ini merupakan ujian terhadap semangat patriotik kita sebagai warganegara Malaysia dalam menghadapi krisis pandemik," ujarnya.

Jelasnya, melalui kaedah pengurungan diri sukarela itu, dapat memperlihatkan bahawa kita merupakan rakyat yang patriotik terhadap negara dan bersatu hati untuk menangani isu Covid-19 tanpa mengira etnik.

"Marilah kita sama-sama membendung penularan wabak ini agar kita berjaya membendung tercetusnya gelombang baharu.

"Bersamalah kita membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan kesesakan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dikhabarkan telah penuh di hospital kerajaan dan swasta. Kita jaga kita," kata beliau.