Kesatuan sekerja lapangan terbang bantah cadangan ambil alih LTSAAS

Tangkap layar surat bantahan bersama bertarikh 6 Mei yang diberikan kepada Zambry.
Tangkap layar surat bantahan bersama bertarikh 6 Mei yang diberikan kepada Zambry.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga kesatuan pekerja lapangan terbang negara membantah cadangan pengambil alihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Wakilnya, Hussin Shahar berkata, pengambil alihan tersebut sekiranya direalisasikan bakal memberikan kesan negatif kepada pekerja di lapangan terbang seluruh negara.

Menurutnya, tindakan tersebut juga dilihat tidak mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia dan kelangsungan pekerjaan bagi warga kerja lapangan terbang Malaysia dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.

“LTSAAS ini ialah tujuh daripada lapangan terbang bawah MAHB yang meraih keuntungan daripada kesemua 39 lapangan terbang yang ada. Kalau dia ambil LTSAAS, keuntungan kita akan teruk kerana MAHB akan kehilangan pendapatan untuk dibahagikan kepada lapangan terbang lain.

“Jadi ini secara tidak langsung akan mengundang masalah kepada kami kerana dijangkakan kalau pengambil alihan itu berlaku, ada daripada ahli kami yang akan dikeluarkan dan terpaksa menganggur.

“Kesatuan juga yakin pengambilan ini akan menyebabkan kebajikan pekerja terabai akibat daripada pengurangan faedah serta ganjaran perkhidmatan yang dinikmati oleh pekerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada 6 Mei lalu, tiga kesatuan sekerja lapangan terbang telah menghantar surat bantahan bersama berhubung pengambil alihan LTSAAS kepada Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Tiga kesatuan tersebut ialah Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Semenanjunga (KESMA), Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Sarawak (KEPEMAB) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Sabah dan Labuan (KEPMAS).

Artikel Berkaitan:

Bantahan itu dibuat selepas media melaporkan mengenai wujudnya cadangan untuk pengambilalihan LTSAAS Subang oleh sebuah entiti perniagaan swasta.

Pada masa sama, MAHB memaklumkan pihaknya masih belum melakukan perbincangan dengan kerajaan mengenai butiran cadangan tersebut dan berharap supaya kerajaan mengkaji semula hasrat mencairkan pegangan LTSAAS Subang kepada pihak swasta.

Mengulas lanjut, Husin yang juga merupakan Yang Dipertua KESMA berkata, cadangan pengambil alihan lapangan terbang yang merupakan sebahagian daripada warisan negara itu adalah tindakan yang berniat tidak baik dan mementingkan keuntungan di pihak tertentu sahaja.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pengendalian LTSAAS diserahkan kembali kepada MAHB dengan serta merta.

Husin menambah, pengambil alihan itu juga jelas bercanggah dengan prinsip asas penswastaan lapangan terbang negara yang bertujuan bagi menggabungkan kesemua lapangan terbang untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat dan ekonomi negara.