Ibu ditikam anak ketika sedang solat tarawih

Suspek ditahan dan dibawa ke Hospital Jalan Perak untuk tindakan lanjut. (Dua bilah pisau yang dirampas dari suspek.)
Suspek ditahan dan dibawa ke Hospital Jalan Perak untuk tindakan lanjut. (Dua bilah pisau yang dirampas dari suspek.)
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan selepas menikam ibunya menggunakan pisau di sebuah rumah di Taman Orkid Permai, di sini jam 10 malam pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima panggilan kecemasan dari seorang lelaki yang memaklumkan ibunya ditikam abang kandungnya sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di rumah tersebut, polis terus menahan suspek berusia 29 tahun yang masih berada di lokasi kejadian.

"Suspek masih bujang dan tidak bekerja. Ujian saringan air kencing suspek positif dadah namun dia tiada rekod jenayah lampau.

"Kita merampas dua bilah pisau daripada suspek iaitu 31 dan 27 sentimeter panjang berhulu plastik warna hitam," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya, mangsa yang berusia 56 tahun mengalami kecederaan di tangan kirinya ketika mengelak ditikam suspek.

"Dia stabil ketika dibawa ke Hospital Kepala Batas dan telah menerima 10 jahitan pada kecederaannya itu. Difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat tarawih bersama suaminya di ruang tamu sebelum didatangi suspek.

"Suspek tiba-tiba meluru keluar dari biliknya dengan memegang dua bilah pisau lalu menghala ke arah ibu dan bapanya. Bapanya sempat menolak suspek namun pisau tersebut terkena pada tangan ibunya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, dari keterangan mangsa, suspek mempunyai masalah mental sejak 2016 dan kini dalam rawatan.

"Suspek sudah lebih setahun berkurung di dalam bilik tanpa bercakap dengan sesiapa. Sebelum ini, suspek tidak pernah bertindak agresif terhadap ahli keluarganya.

"Suspek dihantar ke Hospital Jalan Perak di Georgetown untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.