Lima SJR dijalankan IPD Shah Alam

Baharudin memeriksa dokumen kebenaran merentas daerah atau negeri terhadap pemandu dan penumpang pada tinjauan operasi SJR PKP 3.0 di Plaza Tol Bukit Jelutong hari ini. Foto Bernama
Baharudin memeriksa dokumen kebenaran merentas daerah atau negeri terhadap pemandu dan penumpang pada tinjauan operasi SJR PKP 3.0 di Plaza Tol Bukit Jelutong hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Satu sekatan jalan raya (SJR) tetap dan empat SJR bergerak dilaksanakan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam susulan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 6 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, satu SJR tetap dijalankan arah masuk Shah Alam di plaza Tol Bukit Jelutong manakala selebihnya akan dilaksanakan secara bergerak mengikut keperluan dan keadaan tempat.

"Empat SJR bergerak akan dikendalikan oleh balai-balai (bawah IPD Shah Alam) iaitu Balai Polis Sri Muda, Bukit Jelutong, Seksyen 9 dan Seksyen 6," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SJR Plaza Tol Bukit Jelutong pada Isnin.

Baharuddin berkata, pihaknya juga turut menggerakkan lebih 10 pasukan peninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP di samping pasukan khas bagi menjalankan aktiviti pencegahan jenayah menjelang sambutan perayaan Aidilfitri.

Katanya, sebanyak 26 pegawai dan 147 anggota terlibat dalam penugasan berkaitan Covid-19 serta pematuhan SOP khususnya menjelang Aidilfitri pada Khamis ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: