Perluas tagal sungai beri manfaat kepada masyarakat

Pengerusi Penaja Tagal Sungai Agudon Keningau Fredi Garou, 46, menunjukkan situasi terkini Sungai Agudon yang bakal ditagal mulai bulan ini sebagai menyahut cadangan Jabatan Perikanan Sabah Wilayah Keningau untuk memperluaskan kawasan tagal sungai-sungai di daerah itu. - Foto Bernama
A
A

KENINGAU - Cadangan Jabatan Perikanan Sabah untuk memperluaskan pelaksanaan tagal di daerah ini tepat pada masanya bagi memulihara sungai dan memastikan masa depan hidupan akuatik lebih terjamin.

Pengerusi Penaja Tagal Sungai Agudon, Fredi Garou, berkata, sistem tagal sepatutnya sudah lama dilaksanakan kerana ia berkesan untuk memulihara sungai dan memastikan ikan di air tawar terjaga.

Katanya, keberkesanan sistem tagal itu telah dirasai oleh penduduk di kampungnya yang dilaksanakan di Sungai Agudon dengan penduduk kampung memberikan kerjasama.

“Saya yakin jika semua sungai kecil atau besar di sini (Keningau) ditagal sudah tentu memberi impak besar kepada penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan sungai,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bagi Ketua Kampung Panagatan Ulu Aneh Dalusim, beliau menyifatkan usaha menagal sungai-sungai di daerah ini memberi harapan besar kepada penduduk untuk memperoleh bekalan air bersih secara jangka panjang.

Katanya, sungai-sungai di pesisir Banjaran Crocker merupakan sumber air utama bagi daerah ini yang terdiri daripada Sungai Senagang, Keritan, Agudon, Liawan, Bayayo dan Apin-Apin.

Sungai Senagang, Agudon, Liawan dan Bayayo diwartakan sebagai tadahan air bersih untuk membekalkan lebih daripada 100,000 pengguna di seluruh daerah ini.

Kuantiti air yang dikeluarkan oleh kesemua sungai itu menurun lebih 10 peratus pada setiap tahun disebabkan pelbagai aktiviti di sepanjang pesisir banjaran itu termasuk penebangan kayu tidak terancang, penerokaan tanah pertanian serta pembinaan rumah di sepanjang sungai itu.

Dalam pada itu, Persatuan Dusun Peribumi Pedalaman Sabah yang melakukan kajian terhadap sungai itu sejak lebih 10 tahun lalu mendapati Keningau akan berhadapan dengan krisis bekalan air yang paling teruk dalam tempoh 30 tahun akan datang jika tidak ada usaha dari sekarang untuk menyelamatkan sungai-sungai tadahan itu.

Setiausaha Agung persatuan itu, Rosanna Edeza berkata, kaedah yang tepat ialah menagal sungai-sungai itu dengan penguatkuasaan yang sangat ketat.

Minggu lepas, pegawai Wilayah Jabatan Perikanan Sabah Daerah Keningau, Harun Duin berkata, jabatan itu akan memperluaskan kawasan pelaksanaan tagal di daerah Keningau dalam usaha memulihara hidupan akuatik, selain memastikan sungai-sungai di daerah itu terjaga.

Statistik sehingga tahun lepas terdapat sebanyak 19 sungai telah ditagal di daerah ini namun hanya tiga tagal berstatus aktif dan daripada itu satu tagal iaitu Sungai Apin-Apin benar-benar berjaya mengurus sungai tagal di situ.

Sistem tagal merupakan satu pendekatan tradisional penduduk Sabah dalam memulihara sumber perikanan sungai yang mana melalui sistem itu, tiada sesiapa pun dibenarkan menangkap ikan di kawasan sungai yang ditagalkan. - Bernama