Kantoi sorok dadah dalam patung beruang

No Image Caption
A
A
A

PEKAN - Tindakan 'berfikir di luar kotak" dengan menyembunyikan dadah dianggarkan lebih 250 gram bernilai RM26,620 di dalam patung beruang bagi mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Pandan, Nenasi di sini Jumaat lalu

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, dalam serbuan sekitar jam 1.15 pagi pada 7 Mei lalu, seorang lelaki berumur 21 tahun bersama anak saudaranya yang masih bersekolah di Tingkatan 2, ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur rumah itu polis menjumpai seekor patung beruang yang digunakan untuk menyembunyikan lima bungkus dadah jenis syabu dan 162 biji pil yaba untuk dipasarkan sekitar Kampung Pandan, Nenasi di sini.

"Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM1,800 dan siasatan awal juga mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah itu dari Kuantan dan baharu bergiat aktif dalam kegiatan mengedar bahan terlarang itu dalam tempoh dua bulan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini pada Isnin.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan dadah berkenaan dapat dibekalkan kepada kira-kira 300 penagih dan suspek yang juga seorang penganggur itu mempunyai dua rekod lampau.

Katanya, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek juga didapati negatif.

Mohd Razli berkata kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 13 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A (1) ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: