X

Kindly register in order to view this article
!

8 termasuk dua 'sub leader' Abu Sayyaf ditahan

Hazani menunjukkan gambar ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan dalam serbuan di kawasan paya bakau di belakang Taman Arjuna Beaufort pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Isnin.
A
A

KOTA KINABALU - Dua ahli kumpulan Abu Sayyaf yang disenarai sebagai orang dikehendaki pasukan keselamatan Filipina antara 37 individu yang ditahan polis Sabah dalam satu serbuan di kawasan paya bakau di belakang Taman Sri Arjuna, pada Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, serbuan dibuat kira-kira jam 3 pagi bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Katanya, hasil operasi, seramai 37 individu warga Filipina membabitkan lapan lelaki dewasa, lapan wanita dewasa dan 21 kanak-kanak ditahan.

"Semakan dibuat terhadap tangkapan dengan pihak keselamatan Filipina mengesahkan bahawa lapan lelaki dewasa itu adalah merupakan ahli kumpulan Abu Sayyaf yang melarikan diri masuk ke Sabah ekoran daripada operasi yang dijalankan pasukan keselamatan Filipina di Selatan Filipina.

"Dua daripadanya pula tersenarai sebagai orang dikehendaki oleh kerajaan Filipina dan merupakan 'sub leader' kumpulan terbabit.

"Kedua-duanya pernah terlibat dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan marin Filipina di Bud Bawis Complex, Panama Sulu, pada 2011, 2018, 2019 dan terbaharu pada November 2020 serta turut terlibat dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Isnin.

Mengulas lanjut berhubung serbuan itu, Hazani berkata, dipercayai individu itu telah menetap di kawasan terbabit sejak setahun lalu bagaimanapun siasatan masih diteruskan.

"Tangkapan direman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 12 Mei ini bagi siasatan lanjut untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

"Ini termasuk kenapa mereka masuk ke Sabah, apakah bantuan yang mereka terima sepanjang berada di Sabah, di mana laluan keluar masuk mereka adakah melalui jalan laut atau udara, adakah senjata api dibawa masuk dan juga adakah wujud sel tersendiri bagi kumpulan militan terbabit di Sabah," katanya.

Hazani berkata, tangkapan ini hanya disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966 berikutan penemuan pelbagai dokumen serta resit pengenalan Malaysia yang dipercayai palsu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!