X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Emosi rakyat tidak stabil

Gambar hiasan. Gambar kecil dari kiri: Mohd Awang, Fauziah
A
A

SHAH ALAM - Tahap emosi rakyat Malaysia ketika ini tidak stabil kerana terpaksa berdepan dengan beberapa tindakan tegas bagi mengekang penularan Covid-19.

Keadaan semakin memuncak apabila kerajaan tidak membenarkan rakyat merentas daerah dan negeri menjelang Hari Raya Aidilfitri bermula hari ini.

Ia bermakna sudah dua tahun sambutan hari raya tidak dapat diraikan dengan sempurna akibat peningkatan penularan Covid-19 dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Luahan emosi itu dapat dilihat perkongsian tidak gembira rakyat di media sosial mengenai perkara yang berlaku ketika ini.

Pakar Psikologi Pekerjaan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mohd Awang Idris berkata, pendedahan terhadap sesuatu perkara contohnya pelaksanaan PKP secara berulang dalam tempoh masa yang panjang boleh menjadi punca terhadap ketidaktentuan emosi masyarakat.

Beliau berkata, ditambah menjelang Aidilfitri, boleh mengundang rasa yang bercampur-baur seterusnya menyebabkan tekanan kemarahan kerana tidak dapat meraikan Syawal dalam keadaan normal seperti yang menjadi kelaziman sebelum ini.

“Dalam aspek psikologi, ia dipanggil ‘cognitive miser’ atau kemalasan kognitif. Ia berlaku apabila seseorang sudah terdedah dengan sesuatu perkara yang sama dalam tempoh masa yang lama.

“Maksudnya mereka terdedah dengan PKP, dengan kes baharu Covid-19, sampai satu tahap mereka sudah tidak ambil peduli lagi dengan apa yang berlaku.

“Asalnya mereka mungkin terkesan dengan situasi PKP, situasi hilang kerja dan gangguan emosi, kemudian mereka dihalang pula balik beraya, menyebabkan mereka marah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tegasnya, kerajaan perlu berhati-hati kerana pendedahan yang terlalu lama yang menyebabkan ketidaktentuan emosi, jika lebih daripada tempoh tertentu akan menyebabkan berlaku kemurungan.

Justeru katanya, kerajaan perlu melakukan sesuatu kerana dikhuatiri akan sampai satu masa rakyat enggan menuruti peraturan yang dibuat kerajaan.

“Kerajaan juga perlu ambil pendekatan mengubah medium komunikasi dalam penyampaian maklumat khususnya dalam pengumuman utama berkaitan situasi pandemik.

“Mungkin perlu tukar individu yang bercakap atau individu itu perlu menukar corak penyampaian dibantu dengan visual dan paparan yang boleh menarik kembali perhatian masyarakat.

“Kita boleh lihat Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mula mendedahkan video rawatan pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU), pada saya, ia wajar untuk kesedaran masyarakat betapa seriusnya pandemik ini,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad turut mengakui rakyat berdepan tekanan menjelang perayaan Aidilfitri menyebabkan mereka bertindak balas dengan melepaskan kemarahan di media sosial.

Katanya, kerajaan tidak sepatutnya melaksanakan sesuatu yang boleh menambah tekanan rakyat.

“Sudah menjadi budaya di Malaysia kerajaan tidak boleh kongkong dan paksa untuk tutup semua tempat. Kena pastikan rakyat boleh patuh SOP ketika meraikan Syawal.

“Masyarakat perlu struktur balik pemikiran agar lebih positif dan menerima keadaan situasi sekarang serta tidak mengundang tekanan dan memberi kesan kepada emosi dan tindakan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!