700 pelajar UniSZA sambut Aidilfitri di kampus

Sebahagian daripada 2,000 pelajar UniSZA yang dihantar pulang ke kampung secara berperingkat bermula Sabtu hingga 11 Mei ini.
Sebahagian daripada 2,000 pelajar UniSZA yang dihantar pulang ke kampung secara berperingkat bermula Sabtu hingga 11 Mei ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Seramai 700 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak pulang ke kampung halaman dan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampus.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh berkata, kebanyakan pelajar mempunyai alasan tersendiri untuk tidak pulang ke kampung.

"Sebahagian pelajar tidak pulang melibatkan pelajar luar semenanjung iaitu di Sabah dan Sarawak, manakala sebahagian yang lain mengambil keputusan untuk tidak bergerak merentas negeri.

"Selain itu pelajar-pelajar ini ada juga terlibat dengan peperiksaan sebelum dan selepas Aidilfitri serta ada antaranya yang terlibat dengan program universiti," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya, pihak universiti tidak akan mengabaikan dan akan sentiasa menjaga kebajikan pelajar terbabit.

"Pihak universiti akan tetap meraikan pelajar yang tidak pulang ke kampung halaman mengikut normal baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita tidak mahu mereka bersedih walaupun mereka tidak bersama keluarga masing-masing tetapi UniSZA juga adalah keluarga mereka sendiri. Kita juga akan meraikan sambutan Aidilfitri bersama mereka yang tidak pulang beraya di kampung halaman," katanya ketika ditemui pada sesi pergerakan pulang pelajar UniSZA pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pelajar dihantar pulang melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh pihak pengurusan universiti.
Pelajar dihantar pulang melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh pihak pengurusan universiti.

Sehubungan itu, katanya, pihak universiti berharap ibu bapa tidak perlu bimbang keadaan anak masing-masing di sini.

"Usah bimbang, UniSZA tetap akan melayan dan menjaga mereka seperti anak sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Afandi berkata, UniSZA telah menghantar pulang lebih 2,000 pelajar yang berada di Kampus Gong Badak, Besut dan Kampus Perubatan ke kampung halaman masing-masing.

Katanya, usaha itu dijalankan melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan menguruskan kepulangan pelajar mengikut SOP ditetapkan.

"Proses penghantaran pelajar dilakukan secara berperingkat bermula Sabtu hingga 11 Mei ini membabitkan empat zon.

"Selain menaiki bas yang disediakan oleh pihak UniSZA, pelajar juga pulang dengan menggunakan kenderaan sendiri, kapal terbang dan dijemput oleh keluarga masing-masing," katanya.